“Kami Umpan Mereka Untuk Sentiasa Berlari” – Benjamin Mora

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Tactical genius” – mungkin itu ungkapan tepat untuk ditujukan kepada pengendali Johor Darul Takzim, Benjamin Mora.

Dia sekali lagi membuktikan kebijaksanaan mengatur taktikal tepat untuk memastikan JDT melakar kemenangan kedua dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 dengan mengejutkan pendahulu Liga Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada Isnin.

Benjamin Mora mengakui dia melakukan perubahan taktikal dari semasa ke semasa pada perlawanan itu untuk menyaingi kekuatan lawan yang lebih menguasai perlawanan, justeru memberi kredit kepada pemainnya yang tampil memastikan kemenangan ketujuh berturut-turut dalam semua pertandingan.

“Kami berdepan dengan pasukan lawan yang menguasai 63 peratus permainan tapi kami mampu mengimbangi kekuatan mereka dengan memberi tekanan sepanjang 25 minit perlawanan. Taktik mengajak lawan sentiasa berlari memberi kesan apabila mereka tampak keletihan.

“Saya akui secara taktikal permainan dan teknikal, pemain Ulsan Hyundai memiliki segalanya dan kami terpaksa berhempas pulas menyaingi kehebatan mereka yang kerap menggerakkan bola dan menyusun permainan bermula di posisi pertahanan, tengah dan posisi sayap kiri dan kanan.

“Namun di penghujung permainan, kami beraksi dengan baik dan jika kami gagal mengimbangi kekuatan lawan sudah tentu kami tewas pada perlawanan itu. Namun saya akui agak sukar untuk mengekalkan taktik permainan yang konsisten,” kata Benjamin Mora dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Sultan Sultan Ibrahim itu, skuad harimau selatan mendahului seawal minit ketiga menerusi rembatan dari luar kotak penalti Fernando Forestieri yang sekadar mampu diperhatikan sahaja oleh penjaga gol Jo Hyeon Woo.

Ulsan Hyundai mengikat kedudukan 1-1 enam minit bersambung babak kedua menerusi pemain gantian Um Won Sang dan selepas itu jarang memberi ruang kepada JDT untuk mencipta serangan.

Pasukan tuan rumah kemudian kehilangan penjaga gol, Haziq Nadzli pada minit ke-78, menyaksikan Izham Tarmizi dibawa masuk dan dua minit kemudian Bergson Da Silva menceriakan penyokong apabila melakukan sepakan cantik dari dalam kotak penalti untuk gol kemenangan JDT.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.