Kan dah setuju tamat kontrak awal, nak tuntut apa lagi?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kontrak penyerang import Francis Forkey Doe bersama Pahang pada 2018 telah ditamatkan awal atas persetujuan bersama justeru isu tunggakan gaji yang tidak dilunaskan tidak sepatutnya timbul.

Itu reaksi pengurus Pahang, Datuk Suffian Awang.

Menerusi laporan Harian Metro, sumber terdekat Forkey Doe sebelum ini memberitahu pemain Liberia itu mahu mengheret Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) ke FIFA kerana tidak membayar tunggakan gaji bagi baki musim 2018 berjumlah keseluruhan RM746,500.

PBNP dikatakan tidak melayan notis mahupun tuntutan yang dihantar malah pemain itu juga mendakwa terpaksa menanggung sendiri kos rawatan kecederaan ACL yang dialami ketika pertemuan Piala FA antara Pahang dan Kedah.

“Atas persetujuan bersama antara PBNP dan Forkey Doe, kontrak ditamatkan lebih awal dan turut diberikan pampasan.

“Sebagai tanda prihatin dan ihsan, Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah turut memberikan kemudahan tempat tinggal dan sebuah kereta sepanjang tempoh rawatan.

“Walaupun kontrak sudah berakhir PBNP masih prihatin dengan kecederaan yang dialami Forkey Doe.

“Oleh itu tidak timbul berlaku tunggakan gaji kerana segalanya sudah persetujui kedua-dua pihak,” kata Datuk Suffian kepada Arena Metro.

Forkey Doe yang merupakan penjaring terbanyak Liga Super 2012 ketika mewakili Terengganu FC menyertai Pahang sebagai pengganti kepada Matheu Alves dengan menandatangani kontrak setahun.

Pemain dengan jolokan The Predator itu bermula dengan cukup meyakinkan dan pantas memenangi kepercayaan penyokong apabila meledak tiga gol dalam lima perlawanan sehingga dilabel calon penjaring terbanyak namun terpaksa diketepikan kerana kecederaan.

Forkey Doe boleh disifatkan antara penyerang import terbaik pernah mewarnai Liga Malaysia di mana secara keseluruhannya dia telah menjaringkan 100 gol dalam saingan Liga Malaysia.

Rekod jaringannya adalah 19 gol bersama Terengganu FC (2012); 23 gol bersama Selangor (2013/2017); 13 gol bersama Kelantan (2014); 19 gol bersama Negeri Sembilan (2015); 23 gol bersama Felda United (2016) dan 3 gol bersama Pahang.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.