Kejayaan menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan liga nampaknya belum cukup memuaskan nafsu Liverpool terutamanya buat sang kapten, Jordan Henderson.
Terdahulu, skuad Liverpool bimbingan Jurgen Klopp dinobatkan selaku juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019-20 secara matematik setelah Chelsea menewaskan Manchester City 2-1 dalam satu perlawanan di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Henderson bangga dan bertuah dapat menjadi sebahagian daripada skuad bimbingan Klopp pada waktu ini. Dia menyifatkan kejayaan meraih takhta EPL sebagai sesuatu yang unik dan tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata sebagaimana mereka menjulang kejuaraan eropah pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Henderson menyeru rakan sepasukannya tidak sekadar berpuas hati dengan kejuaraan liga dan mengajak mereka untuk menutup saingan liga musim ini dengan catatan 107 mata maksimum sekaligus mencipta rekod baharu dalam sejarah saingan EPL.
https://www.instagram.com/p/CB322PHlSsC/
“Kami akan meraikan (kejayaan) ini, tetapi esok lusa dan hari berikutnya mereka akan bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya, iaitu (menentang) City, dan menamatkan musim ini dengan sehabis baik.
“Kami mahu memenangi setiap (baki) perlawanan dan kami sebolehnya mahu menutup musim ini dengan rekod mata tertinggi dan berikan segala-galanya (kemampuan) yang kami ada dan kemudiannya ke musim berikutnya dan mahu (capai) lebih lagi.” ujar pemain tengah 30 tahun itu kepada laman rasmi Liverpool.
Saingan EPL berbaki 7 perlawanan lagi dan Liverpool sedang mendahului dengan catatan 86 mata hasil daripada 28 kemenangan dan 2 seri. Ketika ini, rekod mata tertinggi EPL untuk semusim dipegang Manchester City iaitu 100 mata ketika The Cityzens memenangi kejuaraan liga pada musim 2017-18.
Bagi Henderson, penting buat Liverpool kekal bernafsu untuk memburu lebih banyak trofi, kejayaan serta mara lebih jauh ke hadapan. Tidak dapat disangkal lagi semangat ini telah ditunjukkan oleh skuad The Kops sejak beberapa tahun yang lalu.
Untuk rekod, Henderson dilantik sebagai kapten Liverpool sekitar tahun 2015 selepas Steven Gerrard mengumumkan persaraannya pada ketika itu. Sepanjang mengepalai pasukan Liverpool, Henderson yang juga pemain tengah skuad kebangsaan England turut merangkul trofi Liga Juara-Juara UEFA 2018-19, Piala Super UEFA 2019 dan trofi Piala Dunia Kelab FIFA 2019.
Foto: Liverpool