Kapten Sarawak United Hilang Sabar Dengan Janji Palsu, Bawa Isu Tunggakan Gaji Ke Pengetahuan FIFA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kapten Sarawak United, Taylor Regan membuat keputusan menamatkan kontraknya yang masih berbaki 12 bulan gara-gara kegagalan pasukan itu menyelesaikan tunggakan gaji selama empat ke lima bulan.

Taylor Regan memaklumkan perkara tersebut di instagramnya, malah akhbar The Star melaporkan pemain pertahanan dari Australia itu juga telah membawa perkara itu kepada pengetahuan FIFA.

Di sebalik muncul naib juara Liga Premier 2021 dan layak sehingga ke suku akhir Piala Malaysia, Taylor Regan mendedahkan isu tunggakan gaji di kem Sarawak United tidak pernah selesai dan hanya ditabur janji palsu.

Dia juga menyatakan kekecewaan terhadap boss besar pasukan itu yang ‘menghilangkan’ diri sejak Mac.

“Kami telah memberi banyak peluang kepada boss Sarawak United (Presiden) untuk selesaikan masalah gaji sepanjang tahun ini namun dia masih berhutang dengan pemain dan pegawai sebanyak empat ke lima bulan gaji beserta bayaran-bayaran bonus yang dijanjikan sepanjang tempoh tersebut.

“Sebagai kapten pasukan, saya pastikan rakan sepasukan kekal bermotivasi untuk dapatkan keputusan yang baik, tapi keputusan saya untuk keluar adalah untuk menunjukkan kepada semua bahawa situasi ini belum selesai, dan ini adalah tidak adil kepada pemain-pemain yang telah berkorban sepanjang tahun ini.

“Kami telah dijanjikan bayaran gaji sejak beberapa bulan lalu tetapi mereka (pengurusan) tidak pernah sekalipun datang berjumpa, dan pemain kini mencari peluang bermain dengan pasukan lain.

“Saya tahu kelab lain juga ada alami masalah ini sebelum ini, ia mungkin disebabkan penaja. Tetapi nasihat saya kepada pihak pengurusan, tolong bersikap terbuka dan jujur. Kami tidak pernah nampak boss sejak bulan Mac ketika masalah ini bermula. Dia menghilangkan diri dan ini mengecewakan.

“Saya masih berharap pihak kelab masih mampu mencari jalan penyelesaian untuk membayar gaji rakan sepasukan lain dan barisan kejurulatihan secepat mungkin. Mereka sememangnya berhak mendapatkan apa yang telah dijanjikan oleh pengurusan.”

Kehilangan Taylor Regan pastinya satu tamparan besar buat Sarawak United yang dalam persiapan untuk mengharungi musim baru dalam saingan Liga Super, ditambah pula beberapa pemain lain dijangka turut angkat kaki.

Sudah tentunya isu ini juga menimbulkan tanda tanya besar terhadap penyertaan mereka musim depan apatah lagi mereka sebelum ini hanya diberikan Lesen Kebangsaan Bersyarat oleh Malaysian Football League.

Mereka telah diarahkan untuk menyerahkan bukti penyelesaian atas hutang tertunggak terhadap LHDN 2021 kepada pelesenan kelab MFL selewat-lewatnya pada 20 November yang lalu.

Sehingga kini, MFL belum ‘update’ sebarang perkembangan mengenai perkara tersebut, tetapi mengambil kira gaji tidak dibayar lima bulan serta kes dibawa ke FIFA, agak mustahil Sarawak United boleh diberi lesen bermain di Liga Super.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.