Karam bersama Manchester United tapi karier bersinar di tempat lain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Manchester United merupakan pasukan paling berjaya dalam arena bolasepak inggeris dan telah berjaya membawa ramai pemain berkualiti berkelas dunia untuk memperkuatkan skuad.

Mereka sehingga kini masih menjadi pasukan idaman pemain-pemain terbaik dunia walaupun sudah begitu lama kemarau trofi Liga Perdana Inggeris mahupun Liga Juara-Juara Eropah. Tetapi perlu diakui bukan semua yang menyertai mereka mengharungi perjalanan karier yang cemerlang.

Ada pemain yang datang dengan reputasi hebat tetapi gagal membuktikan apa-apa di Old Trafford; ada pemain yang kariernya hanya pulih selepas meninggalkan pasukan; dan tidak kurang ada pemain yang hanya berjaya mencipta nama bersama pasukan lain selepas tidak dipandang di Manchester United.

 

Memphis Depay

Depay tiba ke Old Trafford dengan reputasi selaku antara pemain terhangat di pasaran selepas mencuri tumpuan ramai menerusi aksi memukau bersama PSV Eindhoven dan pasukan kebangsaan Belanda di Piala Dunia 2014.

Tetapi dia tidak dapat menyerlahkan kualiti yang diharapkan apabila gagal menyesuaikan diri dengan bolasepak inggeris yang disifatkannya sebagai berintensiti tinggi dan bergelut untuk memenangi tempat dalam kesebelasan utama.

Kariernya yang pada satu ketika berada di kemuncak mula merudum dan selepas menyertai Lyon pada Januari 2017 barulah dia kembali bersinar malah memainkan peranan penting membantu wakil Ligue 1 itu layak ke separuh akhir Liga Juara Eropah 2019/2020.

 

Alexis Sanchez

Meninggalkan Barcelona dan mencipta nama di Arsenal, tetapi selepas menyertai Red Devils empat musim kemudian, segalanya berubah buat pemain Chile itu, dia hilang dari radar begitu sahaja berikutan menunjukkan prestasi buruk yang tidak padan dengan gaji tinggi yang diterima.

Dia sukar memenangi semula kepercayaan penyokong mahupun kejurulatihan, dan dipinjamkan ke Inter Milan.

Hanya selepas bersama kelab Serie A itu, Sanchez berjaya memulihkan semula prestasinya ke tahap sebenar menyaksikan dia akhirnya melengkapkan perpindahan secara muktamad ke pasukan itu pada Ogos lalu.

 

Radamel Falcao

Dilabel sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia ketika bersama Porto, Atletico Madrid dan Monaco tetapi sebaik menyertai Manchester United secara pinjaman pada September 2014 reputasi itu sekadar menjadi kenangan dan coretan silam dalam kariernya.

Dia hanya menjaringkan hanya 4 gol dalam 29 penampilan liga malah tindakan pengurus ketika itu Louis Van Gaal menyisihkannya untuk bermain dengan skuad B-21 dianggap sebagai mimpi ngeri dalam kariernya. United membuat keputusan tidak menjadikannya kontrak pinjamannya sebagai perpindahan tetap tatkala dia disifatkan sebagai pembelian terburuk United musim tersebut.

Falcao kemudian menyertai pula Chelsea secara pinjaman tetapi hanya selepas kembali ke Monaco pada 2017 berjaya menemui semula sentuhan yang hilang apabila membantu pasukan itu menjuarai Ligue 1 2016/2017 dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

 

Dion Dublin (Gambar utama)

Selepas gagal mendapatkan Alan Shearer, Alex Ferguson membuat keputusan membeli Dublin yang dianggap sebagai kejutan besar.

Belum sempat Dublin membuktikan kredibiliti, dia tersisih panjang selama lebih enam bulan setelah patah kaki ketika perlawanan antara United dan Crystal Palace. Apabila dia kembali, United kini sudah mempunyai penyerang baru, Eric Cantona yang bergandingan cemerlang dengan Mark Hughes.

Ini menyebabkan Dublin gagal merebut tempat dalam skuad dan cuba dijual kepada Everton pada musim berikutnya, namun perpindahan tidak menjadi kenyataan menyebabkan dia terpaksa kekal semusim di United sekadar penyerang simpanan, memerhatikan Cantona dan Hughes mengganas.

Dia dijual kepada Coventry City  dan tidak lagi berpaling, menjadi salah seorang penyerang terbaik EPL dengan meledak lebih 100 gol.

 

Michael Keane

Produk Akademi ini dibenar menyertai Burnley pada 2014 selepas gagal memikat barisan kejurulatihan yang ketika itu diterajui David Moyes

Keane hanya sempat membuat lima penampilan bersama skuad senior Manchester United tetapi mereka mungkin menyesal melepaskannya kerana hari ini dia merupakan salah seorang tonggak utama Everton di bawah bimbingan Carlo Ancelotti, malah telahpun memenangi tempat di dalam skuad kebangsaan England.

 

Angel Di Maria

Angel Di Maria Manchester United Karam bersama Manchester United tapi karier bersinar di tempat lain

Bintang Argentina ini menyertai United setelah empat musim yang hebat di Real Madrid dan pada hakikatnya memulakan karier di Old Trafford dengan baik apabila memenangi Anugerah Pemain Terbaik Bulanan September.

Malah ketika dia menjaringkan gol ‘chip’ cantik menewaskan Kasper Schmeichel ketika menentang Leicester City, United dianggap akhirnya telah menemui pemain tepat untuk menyarung jersi nombor 7. Tetapi mimpi indah hanya seketika, dia bukan sahaja dihimpit masalah prestasi buruk, tetapi turut dibelenggu kecederaan dan lebih malang dilayangkan kad merah ketika menentang Arsenal.

Dia bertahan hanya semusim sebelum dijual ke Paris Saint Germain, kini menjadi salah seorang tonggak utama pasukan itu dan telah menjulang 15 trofi dalam enam musim. Dia juga menjadi tonggak yang membawa pasukan itu ke final Liga Juara Eropah 2019/2020.

 

Wilfried Zaha

Zaha dibeli Sir Alex Ferguson ketika masih muda remaja selepas cemerlang bersama Crystal Palace.

Apabila David Moyes menggantikannya, Zaha mendapati dia tidak menjadi pilihan pengurus itu untuk beraksi dalam skuad utama sebaliknya dipinjamkan semula ke Crystal Palace sebaik dibeli. Selepas tiga musim bermain secara pinjaman, tetap tiada tempat buatnya di United dan Crystal Palace kemudian membuat keputusan membawa pemain itu kembali semula ke tempat dia bermula secara tetap.

Kini Zaha adalah salah seorang pemain sayap terhangat di Liga Perdana Inggeris malah dia juga menjadi buruan kelab Perancis dan Jerman.

 

Diego Forlan 

Walaupun berjaya memenangi trofi EPL 2002/2003 bersama United, Forlan pada hakikatnya tidak mengharungi perjalanan karier yang menakjubkan di Old Trafford. Walaupun dikenali sebagai penyerang prolifik ketika bersama Independiente, dia bukan pilihan utama di barisan depan skuad Alex Ferguson dan dalam 4 musim bersama United dia hanya berjaya menjaringkan 10 gol liga.

Dia sebaliknya meniti perjalanan karier selepas keluar dari United dan berhijrah ke La Liga, menjaringkan 128 gol dalam tujuh musim bersama Villareal dan Atletico Madrid – dua kali memenangi kasut emas Eropah.

Prestasi hebat itu dibawanya bersama Uruguay apabila dinobatkan pemain terbaik Piala Dunia 2010 dan menjulang Copa America 2011.

 

Danny Drinkwater

Mungkin tidak ramai yang tahu, Drinkwater adalah produk Akademi Red Devils dan berada dalam skuad utama selama 4 musim di antara tahun 2008 – 2012 tanpa pernah membuat satupun penampilan sebaliknya bermain secara pinjaman dengan Huddersfield, Cardiff, Watford dan Barnsley.

Dia menyertai Leicester pada 2012 dan menjuarai Liga Perdana Inggeris pada 2015/2016, membuat lebih 200 penampilan bersama The Foxes dan memenangi tempat di dalam skuad England sebelum menyertai Chelsea pada 2017.

 

Bastian Schweinsteiger

Bastian Schweinsteiger Karam bersama Manchester United tapi karier bersinar di tempat lain

Reputasi Schweinsteiger tidak perlu lagi dipertikai – memenangi Piala Dunia 2014 bersama Jerman, dan 8 kejuaraan Bundesliga, 7 kejuaraan DFB Pokal, Liga Juara Eropah dan Piala Dunia Kelab sepanjang 17 tahun bersama Bayern Munich.

Bermain hanya beberapa perlawanan sahaja pada musim pertama sebelum kariernya di United dimusnahkan Jose Mourinho.

Malah pernah disuruh berlatih bersama pasukan B-23. Pada hakikatnya perpindahan yang sia-sia buat tonggak tengah Jerman itu.

 

Tim Howard

Howard dibeli sebagai pengganti Fabian Barthez pada musim 2003/2004 tetapi tidak begitu meyakinkan di gawang, beberapa siri kesilapan berulang menyaksikan dia digilirkan dengan Roy Caroll tetapi kehilangan terus tempatnya selepas Edwin Van Der Sar dibawa masuk dari Fulham.

Bagaimanapun selepas menyertai Everton pada 2007, penjaga gol Amerika Syarikat ini menonjol sebagai salah seorang penjaga gol terbaik EPL dengan deretan persembahan dan aksi menyelamat cemerlang.

Dia beraksi selama 10 musim dengan Everton dan mencatat rekod beraksi 210 perlawanan liga tanpa direhatkan, dan secara keseluruhannya bermain lebih 400 perlawanan dengan kelab Merseyside itu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.