Ganti Sathia last-minute, Karathu bawa Kelantan julang Liga Super

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hanya beberapa hari sebelum sepak mula Liga Super 2011, FAM telah menggantung ketua jurulatih Kelantan, B.Sathianathan selama enam bulan.

Sathianathan telah membawa Kelantan muncul naib juara Liga Super 2010 dan juara Piala Malaysia 2010. Harapan tinggi diletakkan pencapaian lebih baik boleh dilakar pada musim baru walaupun telah kehilangan khidmat beberapa pemain tonggak seperti Indra Putra, Azizi Mat Rose, Norfarhan Muhammad dan Akmal Rizal.

Dengan Sathianathan digantung minit akhir, Kelantan terdesak mencari pengganti. Hendak teruskan dengan Hashim Mustafa, dia tiada Lesen A. Akhirnya Dato’ M.Karathu hadir sebagai penyelamat, dilantik menggantikan Sathianathan hanya dua hari sebelum aksi pertama menentang Selangor yang juga perlawanan sumbangsih.

Karathu menjadi ketua jurulatih Kelantan buat kali kedua selepas 18 tahun.

Karathu kelantan Ganti Sathia last-minute, Karathu bawa Kelantan julang Liga Super

Walaupun hadir sebagai pengganti, Karathu membawa Kelantan melakar sejarah gemilang, menjuarai Liga Super buat pertama kali, merampas kejuaraan dimenangi Selangor dua musim berturut-turut.

Kelantan mengesahkan kejuaraan pada hari terakhir, mengumpul 56 mata dari 26 perlawanan, tiga mata mengatasi Terengganu dan empat mata mengatasi Selangor.

Labola Malaya mengimbau semula perjalanan Kelantan pada musim tersebut.

Matchday 1

Selangor 0-2 Kelantan
29 Januari, Stadium Shah Alam

Razman Roslan menghadiahkan penalti kepada Kelantan setelah menjatuhkan pemain sayap Nurul Azwan Roya seawal minit ketujuh. Penalti disempurnakan Norshahrul Idlan Talaha untuk kedudukan 1-0 di separuh masa pertama.

Sepakan percuma cantik dari sudut sukar Badhri Radzi pada minit ke-84 melengkapkan kemenangan sekaligus Kelantan menjulang Piala Sumbangsih.

Matchday 2

Kelantan 1-1 Terengganu
1 Februari, Stadium SSMIV

Kelantan mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi Badhri Radzi pada minit ke-34 manakala Terengganu bimbingan Irfan Bakti menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi Marzuki Yusof.

Matchday 3

Kelantan 4-1 Johor FC
12 Februari, Stadium SSMIV

Kelantan Johor FC Ganti Sathia last-minute, Karathu bawa Kelantan julang Liga SuperRiduan Maon meletakkan Johor FC di depan pada minit ke-25 namun disamakan oleh Nurul Azwan empat minit kemudian.

Norshahrul meledak dua jaringan pada minit ke-49 dan 72 sebelum Nizad Ayub melengkapkan kemenangan bergaya pada minit ke-77.

Matchday 4

Kuala Lumpur 0-2 Kelantan
25 Februari, Stadium SSMIV

Seri tanpa jaringan di separuh masa pertama, Kelantan beroleh dua gol di babak kedua menerusi Ramzul Zahini dan Norshahrul.

Matchday 5

Kedah 1-1 Kelantan
25 Februari, Stadium Darul Aman

Kedah mendahului menerusi jaringan Azlan Ismail pada minit ke-57 sebelum Norshahrul mengikat kedudukan pada minit ke-79.

Matchday 6

Kelantan 3-0 Negeri Sembilan
1 Mac, Stadium SSMIV

Norshahrul menjaringkan dua gol pada minit ke-19 dan 75 manakala satu lagi gol dijaringkan S.Chanturu pada minit ke-48.

Matchday 7

Pahang 2-0 Kelantan
12 Mac, Stadium Darulmakmur

Rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan akhirnya lebur di tangan Pahang yang beroleh jaringan menerusi R.Surendran pada minit ke-43 dan Faizol Hussin pada minit-minit akhir permainan.

Matchday 8

Kelantan 2-1 Harimau Muda
1 April, Stadium SSMIV

Jaringan K.Soley dan S.Chanturu membolehkan Kelantan mendahului 2-0 sebelum Irfan Fazail merapatkan jurang pada minit ke-43.

Matchday 9

T-Team 4-3 Kelantan 
5 April, Stadium SSINS

T-Team melakar kejutan apabila mendahului 3-0 menerusi jaringan Zairo Anuar Zailani, Indra Putra dan Norfarhan sebelum Kelantan bangkit menjaringkan dua gol menerusi Danial Fadzly dan penalti S.Chanturu.

Haris Safwan Kamal mengukuhkan kedudukan buat tuan rumah pada munit ke-79. Jaringan Danial sudah terlambat untuk Kelantan mengejar sekaligus mengalami kekalahan kedua.

Badhri Radzi antara yang dikritik hebat penyokong selepas kekalahan ini.

Matchday 10

Kelantan 6-0 Felda United
9 April, Stadium SSMIV

Awe Roya Ganti Sathia last-minute, Karathu bawa Kelantan julang Liga Super

Karathu membuat keputusan merehatkan Badhri Radzi.

Kelantan kembali ke landasan kemenangan dengan menjadikan Felda sebagai mangsa.

Shakir Shaari membuka jaringan pada minit ke-33 dan Norshahrul menggandakan kedudukan 10 minit kemudian.

Nizad Ayub meledak dua jaringan pada minit ke-60 dan 70 disusuli dua lagi jaringan menerusi Danial Fadzly dan Izuan Solahudin pada minit akhir.

Matchday 11

Perak 4-0 Kelantan
12 April, Stadium Ipoh

Sang Kijang tampil longlai dan dikejutkan dengan satu lagi kekalahan.

Hazrul Fazli dan Shafiq Jamal meletakkan Perak di depan 2-0 pada separuh masa pertama manakala Akmal Rizal dan Razali Umar Kandasamy melengkapkan kemenangan di separuh masa kedua.

Matchday 12

Kelantan 0-0 Sabah
16 April, Stadium SSMIV

Satu lagi aksi kurang bermaya, hanya sekadar seri tanpa jaringan menentang Sabah.

Matchday 13

Perlis 1-5 Kelantan
19 April, Stadium Utama

Badhri Radzi kembali ke dalam skuad selepas direhatkan beberapa perlawanan dan menutup mulut pengkritik dengan menjaringkan hatrik pada separuh masa kedua.

Sebelum itu Norshahrul menjaringkan dua gol untuk Kelantan mendahului 2-0 di separuh masa pertama.

Tamat pusingan pertama, Selangor mendahului liga dengan 29 mata; Terengganu di tangga kedua dengan 25 mata dan Kelantan di tangga ketiga dengan 24 mata.

Matchday 14

Kelantan 4-0 Perlis
22 April, Stadium SSMIV

Kelantan memulakan aksi pusingan kedua, sekali lagi membelasah Perlis.

Izuan Solahudin, Nizad Ayub, Norshahrul dan Badhri Radzi masing-masing menjaringkan satu gol.

Matchday 15

Kelantan 1-0 Selangor
26 April, Stadium SSMIV

Kelantan mencatat kemenangan kedua ke atas Selangor, menerusi jaringan tunggal Norshahrul seawal minit keempat.

Matchday 16

Kelantan 2-0 Kuala Lumpur 
30 April, Stadium SSMIV

Kemenangan menerusi jaringan Badhri Radzi dan S.Chanturu menyaksikan Kelantan melonjak ke tangga kedua liga.

Matchday 17

Johor FC 0-1 Kelantan
3 Mei, Stadium Pasir Gudang

Kelantan terus menghimpit Selangor setelah meraih tiga mata menerusi jaringan tunggal Badhri Radzi pada minit ke-41.

Matchday 18

Kelantan 2-0 Kedah
6 Mei, Stadium SSMIV

Chanturu Ganti Sathia last-minute, Karathu bawa Kelantan julang Liga Super

Khalid Jamlus menjaringkan gol pertamanya bagi musim 2011 dan Chanturu menambah satu jaringan untuk menghadiahkan Kelantan kemenangan keenam berturut-turut.

Matchday 19

Negeri Sembilan 0-0 Kelantan
10 Mei, Paroi

Momentum kemenangan dinoktahkan Negeri Sembilan yang mengikat The Red Warriors seri tanpa jaringan.

Matchday 20

Felda United 1-3 Kelantan
19 Mei, Stadium PBKL

Aksi di atas padang basah menyaksikan Felda beroleh sepakan penalti seawal minit keempat namun tendangan Azrul Ahmad diselamatkan Khairul Fahmi.

Tandukan Badhri kemudian meletakkan Kelantan di depan pada minit ke-30. Norshahrul menjaringkan dua gol minit ke-46 dan 89 manakala gol saguhati Felda dijaringkan Hasmarul Fadzir.

Kekalahan Selangor kepada T-Team menyaksikan Kelantan merampas kedudukan pendahulu liga.

Matchday 21

Harimau Muda 2-2 Kelantan
22 Mei, Stadium Shah Alam

Kelantan terlepas peluang mengukuhkan cengkaman di tangga teratas sebaliknya memerlukan jaringan minit akhir Norshahrul untuk mencuri satu mata.

Izzaq Faris meletakkan Harimau di depan namun dipadam S.Chanturu sebelum Izzaq sekali lagi meledak gol kedua Harimau.

Terengganu kini mengutip mata sama dengan Kelantan dan berada di tangga kedua menerusi beza jaringan.

Matchday 22

Kelantan 1-2 T-Team
25 Mei, Stadium SSMIV

T-Team terus menjadi bogey team buat Kelantan.

Nurul Azwan berjaya memadam jaringan pendahuluan Badrulhisani Abd Rahman namun Indra Putra memastikan Kelantan tewas kali pertama di gelanggang sendiri.

Terengganu melonjak ke tangga pertama manakala Selangor terus tercicir selepas alami kekalahan ketiga berturut-turut.

Matchday 23

Kelantan 1-0 Pahang 
28 Mei, Stadium SSMIV

Kelantan merampas semula kedudukan pendahulu setelah menewaskan Pahang menerusi jaringan tunggal Badhri Radzi.

Terengganu kecundang di tangan Kedah.

Matchday 24

Terengganu 0-3 Kelantan
6 Jun, Stadium SSINS

Top of the table clash. Pertemuan yang bakal menentukan halatuju kejuaraan.

Kelantan menang bergaya menerusi jaringan Izuan Solahudin dan dua jaringan Norshahrul.

Matchday 25

Kelantan 1-0 Perak
14 Jun, Stadium SSMIV

Matyo Ganti Sathia last-minute, Karathu bawa Kelantan julang Liga Super

Jaringan tunggal Norshahrul pada minit ke-53 memadai untuk Kelantan mengukuhkan cengkaman di tangga teratas.

Kedudukan menuju perlawanan terakhir: Kelantan 53 mata; Selangor 51 mata; dan Terengganu 50 mata. Pertarungan tiga penjuru untuk merebut kejuaraan.

Matchday 26

Sabah 1-2 Kelantan
6 Julai, Stadium Likas

Kelantan juara Liga Super ! Dua jaringan Norshahrul memastikan kemenangan buat Kelantan. Sabah cuba bangkit menerusi Razlan Oto tetapi gagal menghalang Kelantan meraih tiga mata dan mengesahkan kejuaraan.


Begitulah laluan Kelantan untuk merangkul trofi Liga Super buat kali pertama di bawah kendalian M.Karathu.

Statistik lengkap penjaring gol :

(20) Norshahrul; (10) Badhri Radzi; (6) S.Chanturu; (4) Nizad Ayub; (3) Danial Fadzly, Izuan Solahudin; (2) Nurul Azwan; (1) K.Soley, Khalid Jamlus, Shakir Shaari, Ramzul Zahini

Foto kredit : Wan Ahmad Jauzi (J Photography), www.userun.net, Mazram-IV.blogspot, Glenn Guan (thestar)

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.