Karier diselamatkan Kedah, peluang Rozaimi buktikan Sabah silap besar kerana lepaskannya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kedah tampil menjadi penyelamat kepada karier Rozaimi Abdul Rahman, apabila menyambar pemain itu untuk memperkuatkan pasukan dalam saingan Liga Malaysia 2021.

Pemain berusia 28 tahun itu sepatutnya menyertai negeri kelahirannya Sabah selepas lima musim bersama Johor Darul Takzim II.

Seperti yang dilaporkan Labola Malaya baru-baru ini, Rozaimi telah mencapai persetujuan lisan untuk bersama Sabah hasil perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Dato’ Verdon Bahanda dan telah menghabiskan kira-kira RM14,000 untuk membawa pulang barang-barangnya dari Semenanjung ke Sabah.

Begitupun sikap pengurusan Sabah FA yang berlengah di dalam menawarkan kontrak, menyebabkan pemain itu meluahkan kebimbangan di media sosial dan menganggap dirinya kena scam (tertipu), dan ia menimbulkan kemarahan Verdon yang melabel pemain itu tidak professional dan tidak menunjukkan contoh yang baik.

Disebabkan itu, Verdon menyatakan Rozaimi tidak sesuai menyarung jersi Sabah dan menutup pintu buat anak jati Bongawan itu, menyebabkan terpaksa mencari pasukan lain.

Kedah bagaimanapun pantas mendapatkan pemain itu sebagai salah seorang penyerang tempatan mereka, mengisi kekosongan ditinggalkan Zaquan Adha Abdul Radzak serta Hadin Azman di barisan depan.

Menyarung jersi Kedah yang sentiasa menjadi pencabar kuat dalam saingan Liga Malaysia, serta pasukan yang akan bermain di Piala AFC tahun depan, pastinya peluang terbaik buat Rozaimi membuktikan kepada Sabah betapa mereka silap besar kerana melepaskannya pergi.

Sebagai rekod, Rozaimi merupakan produk Piala Presiden Sabah yang disifatkan sebagai antara bakat terbaik pernah dilahirkan negeri itu.

Dia mencipta nama ketika SUKMA 2012 di Pahang apabila membantu Sabah memenangi pingat emas dengan menewaskan Perak dalam aksi final, dan terus mengembangkan kariernya apabila dipinjamkan ke skuad B-22 negara kendalian Ong Kim Swee seterusnya muncul penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala AFC B-22 2013.

Rozaimi kembali ke Sabah selepas itu, namun bergelut dengan kecederaan buku lali pada April 2014 dan ketika dia mahu kembali, kecederaan itu berulang lagi pada awal 2015, menyaksikannya terpaksa bermula daripada kosong.

Ketika dia disebut bakal membuat kemunculan semula pada Julai tahun tersebut, malang menimpa lagi apabila Rozaimi terbabit dalam kemalangan yang turut mengorbankan anak saudaranya.

Selepas itu, kontraknya ditamatkan Sabah dan dia menyertai JDT II dengan menandatangani kontrak tiga tahun dan kemudian lanjutan dua tahun yang membantu memulihkan dan meletakkan kariernya kembali dalam landasan.

Foto ehsan : Kedah Darul Aman Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.