Karier kembali bernyawa, Nurshamil anggap sertai Kelantan FC pilihan tepat

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Karier Nurshamil Abd Ghani seperti mendapat nafas baharu selepas menyertai Kelantan FC, musim ini.

Penyerang berusia 27 tahun itu langsung tidak diturunkan oleh Pulau Pinang pada musim lalu, tetapi di Kelantan FC dia sudahpun beraksi dalam kesemua empat perlawanan pertama – sekali dalam kesebelasan utama dan tiga kali sebagai pemain gantian.

Dia juga mengumpul dua jaringan setakat ini termasuk jaringan kemengan dramatik ketika menentang skuad Projek FAM-MSN.

Ia jelas menyuntik lebih keyakinan dan memberikan motivasi kepada Nurshamil untuk terus cemerlang membuktikan penyerang tempatan juga boleh bersaing dengan penyerang import.

“Ini satu permulaan yang cukup baik bersama Kelantan FC dan lega rasanya masih punyai rentak untuk menjaringkan gol dan harap keadaan ini mampu berterusan sebagai detik kebangkitan kepada karier saya.

“Dua musim sebelum ini saya sukar mendapatkan minit yang banyak untuk bermain dan di Kelantan, saya gembira kerana Marco Ragini memberikan peluang saya beraksi lebih kerap.

“Walaupun banyak masuk pemain gantian setakat ini, Marco ada berkata kepada saya, dia bersedia untuk menggunakan saya dalam kesebelasan utama jika tahap kecergasan sudah berada di tahap terbaik.

“Saya mahu tunjukkan penyerang tempatan juga boleh bersaing dengan penyerang import walaupun ada yang berkata mustahil untuk bersaing dengan mereka bagi merebut tempat,” katanya.

Nurshamil pernah muncul sebagai penjaring terbanyak Piala FAM pada 2015 ketika membantu Melaka naik ke Liga Premier dan beraksi cemerlang pada saingan Liga Premier pada musim berikutnya.

Kariernya mula suram selepas dipinjamkan ke Selangor pada 2017, di mana dia tidak dapat menyaingi pemain import serta penyerang tempatan yang lebih berpengalaman bagi meraih tempat dalam kesebelasan utama.

Menyertai Pulau Pinang musim lalu, dia tewas kepada Casagrande dan Bobby Gonzales yang boleh diturunkan di posisi penyerang.

Dalam pada itu, Nurshamil mengakui Marco Ragini cukup memahami cara permainannya dan sikap terbuka pengendali dari Itali itu membuatkannya sentiasa mahu berikan yang terbaik di atas padang justeru yakin pilihannya untuk bersama Kelantan FC pada musim ini adalah tepat.

“Selepas kontrak saya ditamatkan dengan Pulau Pinang, pihak Kelantan terus menghubungi saya dan saya menjalani latihan percubaan selama dua hari dan Marco terus berminat untuk mengambil saya.

“Buat masa ini, saya selesa bekerja dengan Marco serta memahami cara bola sepak yang mahu diterapkan, malah dia selalu berbincang dengan saya mengenai soal taktikal.

“Biarpun masa ini menggunakan formasi 4-1-4-1 kerana pasukan mempunyai ramai pemain muda, namun apabila dia menggunakan taktikal dua penyerang, Marco akan memasukkan saya untuk bergandingan dengan Jack Hindle.

“Taktikal meletakkan dua penyerang nyata memberikan ruang saya untuk bermain dan saya harap apabila liga kembali bersambung nanti, saya akan berada di tahap prestasi yang lebih baik,” katanya.

Foto kredit : TRW Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.