Karsten Neitzel bingung pemain lambat buat keputusan, bukan begini DNA Jerman

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel menegur pemainnya supaya lebih cepat membuat keputusan apabila mendapat bola tatkala dia menganggap ia sebagai punca utama pasukannya kecundang 0-2 kepada Penang FC di laman sendiri pada Sabtu.

“Kami bermain dengan baik pada Rabu (menentang JDT) tetapi hari ini ia sangat berlainan. Pemain mencuba pelbagai cara, sudah tentunya kami kecewa. Ia keputusan yang buruk, kami gagal untuk menjaringkan gol daripada peluang yang ada.

“Kami memiliki dua peluang daripada Aliff Haiqal dan Ifedayo Olusegun. Jika mereka menjaringkan gol itu, ia akan memudahkan kami. Terutama sekali pada babak pertama, kami bermain terlalu perlahan daripada bawah setiap kali memenangi bola.

“Itu yang membantu lawan untuk duduk lebih ke bawah dan ia menjadi semakin sukar dengan ramai pemain lawan bertahan.

“Pemain perlu bermain lebih bijak dan berfikir lebih pantas setiap kali memenangi bola, mereka hanya ada satu atau dua saat untuk teruskan permainan tetapi kita sentiasa mengambil langkah yang salah. Ini bukanlah persembahan terbaik kita,” katanya.

Jurulatih dari Jerman itu bagaimanapun tidak mahu menjadikan jadual padat dan kepenatan sebagai alasan pemainnya tidak dapat menterjemahkan aksi terbaik.

“Semua pasukan juga melalui jadual yang padat seperti kami. Tetapi beberapa pemain, sudah tentu penat. Kecergasan pemain bukanlah punca kepada kekalahan ini.

“Selain itu, kami menghadapi masalah daripada serangan balas lawan terutamanya daripada pemain nombor 12 (Al-Hafiz) pada babak pertama, itulah punca kami kalah perlawanan ini dan bukannya disebabkan oleh kecergasan,” ujar Karsten Neitzel selepas perlawanan.

Jelas sekali Karsten Neitzel sedang bergelut untuk menerapkan DNA Jerman ke dalam permainan pasukannya tatkala Selangor FC kini telah mengharungi empat aksi tanpa merasai nikmat kemenangan.

Satu-satunya kemenangan pasukan gergasi merah kuning dalam Liga Super 2021 adalah ketika menewaskan Sri Pahang FC 3-1 dalam aksi sulung, tetapi kemudiannya rentak sama gagal diteruskan apabila kecundang dengan angka jaringan sama kepada Terengganu FC.

Selepas itu Selangor FC memerlukan jaringan sendiri pada lewat permainan untuk mengikat Kuala Lumpur City FC 1-1 sebelum tampil cemerlang untuk mengikat pula JDT 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim dalam perlawanan keempat.

Kemenangan yang dilakar oleh Penang FC ke atas mereka menerusi jaringan Al Hafiz Harun dan Danial Ashraff Abdullah adalah kemenangan pertama dalam tempoh 15 tahun sejak April 2008.

Foto ehsan : Penang Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.