Kasut Emas Liga Premier : Sempatkah Nurshamil Pintas Abu Kamara?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Saingan Liga Premier menghampiri kemuncaknya dengan perebutan kejuaraan semakin hangat di antara tiga pasukan – Kelantan, Johor Darul Takzim II dan Terengganu FC II.

Turut menjadi tumpuan adalah siapakah yang akan muncul sebagai penjaring terbanyak dan memenangi Anugerah Kasut Emas Liga Premier bagi musim ini.

Penyerang Kuching City, Abu Kamara mendahului carta penjaring terbanyak dengan 10 gol, tetapi menariknya penyerang Kelantan Nurshamil Abdul Ghani sedang mengekori rapat di belakang dengan lapan gol.

Nurshamil juga satu-satunya pemain tempatan untuk berada dalam top-5 carta penjaring terbanyak dengan Fernando Rodriguez, Joku Njacob dan Martin Adamec turut menjaringkan lapan gol.

Dua gol dalam dua aksi terakhir ketika menentang Terengganu FC II dan PDRM memastikan penyerang berusia 29 tahun itu menghidupkan peluang untuk memburu gelaran penjaring terbanyak tatkala saingan hanya berbaki dua perlawanan.

Menurut Nurshamil, secara keseluruhan dia berpuas hati kerana berjaya menjaringkan lapan gol setakat ini tetapi masih berkeinginan menambah angka jaringan selain meneruskan perjuangan merebut kejuaraan Liga Premier buat Kelantan.

“Di awal musim, saya pernah cakap mahu cuba dapatkan gelaran penjaring Liga Premier terbanyak selepas pernah memenanginya untuk kategori pemain tempatan.

“Saya bersyukur kerana dapat meledak dua jaringan pada dua perlawanan terakhir yang letakkan saya masih berpeluang bersaing bersama Kamara, dengan hanya ketinggalan dua gol.

“Saya akan berusaha pada dua lagi baki perlawanan dan sambil jadikan matlamat membantu pasukan mengejar kejuaraan Liga Premier sebagai motivasi utama,” katanya.

Musim lalu, Nurshamil menjaringkan tujuh gol untuk Kelantan bagi menggondol Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Premier dan penyerang yang berasal dari Melaka ini kekal konsisten pada musim ini walaupun ada terlepas beberapa perlawanan ekoran dilanda kecederaan.

Mengenai cabaran Kelantan di Liga Premier, Nurshamil mahu melihat satu demi persatu perlawanan sambil enggan terlalu memikirkan mengenai kejuaraan yang kini disaing hebat oleh JDT II.

Tambahnya, tumpuan utama mereka buat masa ini ialah bangkit daripada kegagalan mendapatkan kemenangan semasa bertemu TFC II dengan meraih tiga mata penting ketika melayani kunjungan Selangor IIpada 4 September depan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

“Memang masih terasa apabila kami gagal menang semasa dengan TFC II selepas mendahului dua jaringan di hadapan untuk sekadar seri dan harap kami boleh bangkit daripada kekecewaan tersebut.

“Berbaki dua perlawanan, saya dan rakan-rakan hanya mahu fokus kepada perlawanan yang akan dilalui terutama berdepan Selangor 2 tanpa mahu memikirkan bagaimana peluang kami.

“Apa-apa kita kena buat yang terbaik berdepan Selangor 2 bagi mendapatkan kemenangan sebelum kita akan bertemu Kelantan United pada aksi terakhir Liga Premier,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.