Kata Cedera dan Balik Sepanyol Sebab Ayah Sakit, Rupanya Mario Arques Sertai Newcastle Jets

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain tengah Kelantan FC, Mario Arques diumumkan sebagai pemain baru kelab Liga Australia, Newcastle Jets.

Pemain berasal dari Sepanyol itu sudah tidak sabar untuk membantu Newcastle Jets mengharungi musim baru A-League yang dijadual bermula 19 November depan.

“Saya teruja kerana dapat bergelar pemain Newcastle dan bersedia untuk memberikan segalanya bagi saingan musim baharu nanti. Saya bersyukur kerana pihak kelab meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap saya dan saya bersedia untuk meningkatkan kualiti saya selain belajar dari Arthur serta rakan sepasukan yang lain.

“Sasaran saya ialah memberikan 110 peratus pada setiap perlawanan dan bekerja keras untuk memastikan pasukan ini berada di atas,” kata Mario Arques.

Manakala jurulatih Newcastle Jets, Arthur Papas pula menyambut baik kedatangan bekas pemain Villareal dan Valencia itu dan berharap kehadirannya memantapkan lagi pasukan itu yang mengakhiri musim 2020/2021 di kedudukan ke-11 daripada 12 pasukan.

“Saya mengenali Mario Arqués sejak dia beraksi dalam saingan Indian Super League (ISL). Dia seorang pemain yang elegan yang sentiasa mahu memegang bola di kaki, mempunyai kemahiran untuk menentukan tempo permainan dan mempunyai kelebihan dari segi bola mati. Kami menyambut baik kehadiran beliau,” kata Papas.

Begitupun ia menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong Kelantan memandangkan baru sehari Kelantan FC mengumumkan telah menamatkan kontraknya kerana kecederaan.

Selain itu ayah pemain itu juga dikatakan mengalami jangkitan Covid-19 dan dan disebabkan itu dia perlu segera pulang ke Sepanyol.

“Mario mengalami kecederaan dan telah ditamatkan kontrak pada bulan Oktober 2021, kebetulan ayahnya sedang mengalami jangkitan Covid-19 dan beliau perlu pulang ke Sepanyol dengan segera.

“Kami mendoakan semoga beliau segera sembuh dan mengharapkan hubungan baik antara TRW Kelantan FC dan Mario Arques terus berkekalan. Selamat Maju Jaya, Mario Arques,” menurut Kelantan FC dalam satu kenyataan

Mario merupakan salah seorang pemain terbaik skuad The Red Warriors dalam saingan Liga Premier musim ini dimana beliau menjaringkan dua gol selain bertindak sebagai ketua pasukan.

Sebelum ini jurulatih Kelantan, Rezal Zambery Yahya mengesahkan bahawa pasukan itu akan meneruskan saingan dengan hanya dua import berikutan Jack Hindle juga tersisih kerana kecederaan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.