Kata dua Amar Pritpal, kalau betul terbang tunjuklah bukti

GEORGETOWN 01 OGOS 2019. Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Dr Amar Pritpal Abdullah semasa Majlis Makan Malam "Apresiasi" Persatua Bola Sepak Pulau Pinang di Hotel Royal, Georgetown. STR/SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) Dr Amar Pritpal Abdullah enggan melayan dakwaan bahawa mereka mungkir janji untuk menjelaskan tuntutan tiket penerbangan dan hotel kepada dua bekas pemain importnya.

Sebaliknya beliau memberi kata dua, tunjukkan bukti dengan menyertakan resit pembayaran atau lupakan sahaja tuntutan.

“Kalau depa (dua pemain import) ada bukti (resit pembayaran) terbang ke luar negara, buktikan dengan tiket bukannya kata terbang, terbang, terbang, tapi depa tak keluar negara pun hanya nak buat duit saja.

“Kita kalau ada apa-apa tuntutan, mereka boleh tunjuk hitam putih kepada saya dan saya akan luluskan. Selain daripada itu saya tak mahu.

“Kerana saya pun kena jawab kepada negeri (kerajaan negeri) macam mana bayaran dan untuk apa kita bayar. Mereka boleh cakap keluar tapi depa duduk dalam Malaysia saja, jangan nak tunjuk pandailah nak tuntut tapi ada dalam negara,” kata Amar Pritpal.

Terdahulu menerusi laporan disiarkan Harian Metro, dua bekas pemain import yang tidak mahu nama didedahkan menuntut bayaran tiket penerbangan dan hotel masing-masing berjumlah RM12,300 dan RM6,848 (total RM19,148) daripada FAP.

Mereka kecewa dan hilang sabar dengan sikap lepas tangan pengurusan FAP yang sebelum ini berjanji akan membayarnya namun kini dilihat cuba mengelak berbincang mengenainya.

“Saya ada cuba menghubungi mereka (FAP) tetapi mereka tak jawab panggilan dan tidak memberi respon kepada saya.

“Walaupun jumlah itu tidak begitu besar, mereka perlu bertanggungjawab dan membayar tunggakan itu kerana ia milik saya dan pemain lain.

“Kata nak bayar bulan Februari tapi sekarang dah bulan Ogos. Mana janji mereka, jangan aniaya kami kerana kami sudah berikan sepenuh komitmen ketika dengan pasukan tahun lalu,” katanya.

Menerusi surat tuntutan pembayaran, pemain itu menjelaskan sepatutnya menerima pembayaran keseluruhan RM46,300 termasuk bayaran elaun rumah, bayaran awal untuk Mei dan bayaran kontrak bulan November.

Begitupun, tuntutan penerbangan serta hotel tidak dibayar oleh bekas majikannya itu.

“FAP bayar guna cek yang berasingan. Bayaran lain semua dah dapat tetapi duit hotel dan tiket belum lagi. Saya mahu mereka bayar, jangan cuba nak diam saja,” katanya.

Foto : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.