KDAFC Berdepan Tuntutan Tunggakan RM10.4 Juta

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kedah Darul Aman FC (KDAFC) berdepan risiko tidak mendapat lesen untuk beraksi dalam Liga Super musim depan, berikutan terdapat tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM10.4 juta membabitkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Tunggakan itu membabitkan beberapa pemain dan jurulatih sejak musim 2015 antaranya cukai pendapatan bekas pemain import skuad Hijau Kuning iaitu Sandro Da Silva sebanyak RM2.3 juta dan Liridon Krasniqi (RM1.78 juta).

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata pengurusan KFA terdahulu didapati memotong gaji pemain dan jurulatih terbabit bagi bayaran cukai pendapatan, namun gagal melunaskan bayaran itu kepada LHDN.

“Selain Sandro dan Liridon, tunggakan cukai tertinggi turut membabitkan Bang Seung Hwan sebanyak RM935,000, Ken Ilso Larson (RM470,000), Chidi Edeh (RM434,000) dan Carlos Kahe (RM346,000).

“Tuntutan tunggakan cukai itu turut membabitkan barisan kejurulatihan import antaranya Ian Gillan dan Stefano Impagliazzo,” kata Muhammad Sanusi pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.

Tambah Muhammad Sanusi lagi, pihaknya akan cuba berbincang dengan LHDN untuk menghapus kira tunggakan itu berikutan kegagalan agensi terbabit menuntut kutipan bayaran pada tahun sebelumnya.

“Sepatutnya kalau ada tunggakan pada 2018 atau 2017, tuntutlah pada tahun itu juga tetapi mereka kata pada masa itu pengurusan KFA lama tidak memberi kerjasama.

“Sekarang apabila pengurusan baharu beri kerjasama, mereka datang longgok semua atas ‘kepala’ kita. Kalau macam itu, teruklah kita kerana KFA bukan buat untung, sebaliknya memajukan sukan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penaja,” katanya.

Muhammad Sanusi berharap perkara ini akan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Kementerian Kewangan dan LHDN bagi mengelak persiapan pasukan terjejas pada musim hadapan.

“Tunggakan ini berlaku pada masa lalu, tak bolehlah kutip sekarang. Justeru saya berunding dengan LHDN untuk memohon hapus kira di atas kegagalan mereka membuat kutipan pada masa lalu.

“Kita kena susun dan dapatkan surat pelepasan LHDN, kalau tak dapat pelepasan, kita tak boleh main kerana tak dapat lesen pada musim depan. Dosanya pada masa lalu, dan kerja saya pula menyucikan dosa lama,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.