KDAFC Tamatkan Kontrak Rozaimi Lebih Awal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pasukan Kedah Darul Aman (KDAFC) hari ini mengumumkan bahawa mereka telah menamatkan kontrak Rozaimi Abdul Rahman lebih awal secara persetujuan bersama dengan pemain itu.

Bekas penyerang Harimau Muda itu menyertai KDAFC pada Disember 2020 dengan memeterai kontrak selama semusim setelah Sabah tidak jadi menggunakan khidmatnya.

Baca : Verdon Kecewa Sikap Tidak Profesional Rozaimi, Anggap Dia Tidak Sesuai Bermain Dengan Sabah
Baca : Jatuh Sekali Lagi, Bolehkah Rozaimi Bangkit Daripada Kosong

“Penamatan kontrak ini adalah penyelesaian akhir atas permohonan pemain tersebut selepas kelab memberi peluang tempoh 2 bulan buat Rozaimi untuk menyelesaikan hal peribadi sebelum beliau memutuskan haluan kerjaya bolasepaknya.

“Pihak pengurusan kelab menghormati pendirian beliau walaupun kudrat dan pengalamannya ditagih dibahagian serangan,” menurut kenyataan KDAFC.

Sepanjang bersama KDA FC di musim 2021, Rozaimi membuat sembilan penampilan, 264 minit aksi dan satu assist, dengan penampilan terakhirnya adalah ketika membantu KDA FC menang ke atas Melaka United FC pada 30 April 2021.

Sebagai rekod, pPemain berusia 28 tahun kelahiran Papar itu merupakan produk Piala Presiden Sabah yang disifatkan sebagai antara bakat terbaik pernah dilahirkan Sabah selepas berlalunya era Zainijam Marjan.

Dia mencipta nama ketika SUKMA 2012 di Pahang apabila membantu Sabah memenangi pingat emas dengan menewaskan Perak dalam aksi final, dan terus mengembangkan kariernya apabila dipinjamkan ke skuad B-22 negara kendalian Ong Kim Swee seterusnya muncul penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala AFC B-22 2013.

Rozaimi kembali ke Sabah selepas itu, namun bergelut dengan kecederaan buku lali pada April 2014 dan ketika dia mahu kembali, kecederaan itu berulang lagi pada awal 2015, menyaksikannya terpaksa bermula daripada kosong.

Ketika dia disebut bakal membuat kemunculan semula pada Julai tahun tersebut, malang menimpa lagi apabila Rozaimi terbabit dalam kemalangan yang turut mengorbankan anak saudaranya.

Selepas itu dia berkelana ke JDT II, pasukan yang diwakilinya selama empat musim, sebelum menyertai KDAFC.

Foto ehsan : Kedah Darul Aman FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.