Kecewa karier Super KIP berakhir, Pawi pujuk anak ternak lembu

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ayah mana yang tidak kecewa apabila karier anak berakhir begitu sahaja ketika baru berusia 22 tahun, lebih-lebih lagi setelah mengorbankan segala apa yang ada demi negara.

Pawi Omar, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan itu, melihat nasib menimpa anaknya Khairul Idham Pawi atau dikenali sebagai Super KIP yang tidak disambung kontrak oleh Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Menurut Pawi, bukan sahaja dia berkorban wang ringgit sehingga diisytihar muflis demi pembangunan karier Super KIP, tetapi pelumba itu sendiri mengorbankan jari kelingkingnya demi pasukan dan negara tetapi ‘ditendang’ seolah tidak berjasa langsung.

Justeru dia akan memujuk pelumba muda itu untuk meninggalkan dunia perlumbaan dan memulakan kerjaya baru sebagai penternak lembu.

Pawi Omar Kecewa karier Super KIP berakhir, Pawi pujuk anak ternak lembu

“Khairul satu dalam sejuta. Saya bukan nak bangga, tapi saya didik dia dari kecil sejak sekolah lagi. Macam mana susahnya saya didik dia, asuh dia bergolok-bergadai rumah. Berniaga hingga muflis sampai ke hari ini.

“Malah sekarang saya masih tanggung saman dari LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) sebanyak RM36,000 tiap-tiap bulan sebab tak bayar cukai demi jadikan Khairul sebagai pelumba. Tiba-tiba jadi macam ini. Saya amat kecewa, begitu juga dengan Khairul.

“Saya tak pernah lihat dia betul-betul kecewa seperti hari ini. SRT tak bagi dia peluang. Masa di Moto2 dia jatuh cedera dan berehat panjang tukar ke Moto3. Jatuh lagi dan cedera lagi sehingga potong jari.

“Sebenarnya perkhabaran khidmat Khairul ditamatkan itu saya tahu sejak Julai. Sudah ada khabar angin bertiup. Sebelum dia potong jari dan kalau dah tahu begitu, kenapa mereka suruh dia potong jarinya,” kata Pawi.

Sebagai rekod, Super KIP menyertai Petronas SRT pada 2019 dalam kategori Moto2, tetapi selepas bergelut dengan masalah kecederaan, dia memasuki kategori Moto3 setahun kemudian.

Sepanjang bergelar pelumba, Super KIP pernah dua kali menaiki podium sebagai juara dalam Moto3 pada 2016 di Argentina dan Jerman.

DISINGKIR KERANA TIADA PENINGKATAN

Sebelum ini, Prinsipal Petronas SRT, Datuk Razlan Razali mempertahankan tindakan menyingkirkan pelumba itu.

Razlan menyifatkan pelumba itu telah berkorban dengan potong jari demi pasukan dan negara tidak boleh dijadikan alasan untuk mengekalkannya pada ketika dia tidak menunjukkan peningkatan.

“Selepas setiap pusingan, kita berbincang, tanya apa masalah dan kita tukar apa yang perlu tetapi dia tetap tak ada peningkatan. Khairul Idham bukan rookie (pelumba baharu) tetapi seorang pelumba berpengalaman dan biasa di kejuaraan dunia dan kita jangka sesuatu yang lebih daripadanya.

“Sebagai pasukan profesional, yang ada sasaran tinggi, kita nak buat terbaik. Kita letak sasaran yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua pihak pada awal tahun.

“Selepas itu, kita longgarkan sasaran, bertolak ansur mengenai tahap kompetitifnya daripada kelompok 15 terbaik ke kelompok 20 terbaik sehinggalah kami katakan ‘jangan sehingga (penamat) tercorot’.

“Itu bukan satu sasaran atau prinsip yang kita nak dalam pasukan ini. Hanya kerana dia seorang pelumba rakyat Malaysia. Itu kita tak nak. Saya percaya dia melalui segala-galanya daripada kecederaan, pengorbanan memotong jari tetapi itu (hakikat apabila) menjadi seseorang pelumba.

“Kalau dilihat, (Niki) Tuuli yang menggantikan Zulfahmi Khairuddin di Moto2 (tahun 2018), dia pun kemalangan, potong jari tetapi kembali bangkit dan meraih mata. Kita juga tidak melanjutkan kontraknya dan melepaskannya. Ini satu perjalanan yang perlu dilalui oleh semua pelumba.

“Tapi pokoknya, kita tak nak KIP jadi seperti itu, kita sudah buat yang terbaik tetapi tak nampak tanda-tanda dia boleh bangkit semula. Takkan kita mahukan seseorang pelumba itu apabila meraih penamat di tempat ke-22, ke-18, ke-19 dan kita gembira dengan keputusan itu. Tidak, kita bukan begitu.

“Mungkin dulu kita ada satu pasukan saja iaitu Moto3, masa itu ya. Tetapi apabila pasukan ini sudah besar, ada Moto3, Moto2 dan MotoGP.

“Tambahan pula semua pelumba menunjukkan peningkatan tetapi pelumba tempatan kita tidak begitu. Maka bagi saya, kita sudah tak tahu apakah yang perlu dilakukan lagi, jadi kita membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya,” kata Razlan dalam laporan disiarkan pada bulan Oktober lalu.

Foto kredit : Petronas SRT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.