Liga Malaysia 2021 belum pun bermula, nampaknya sudah ada pasukan yang diheret ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Semuanya gara-gara tindakan kurang bijak Kuala Lumpur atau kini dikenali sebagai Kuala Lumpur United mengambil jurulatih lain selepas melantik Simon Elissetche sebagai jurulatih baru pasukan itu bagi musim 2021, kononnya kerana sijil kejurulatihan bekas pengendali Timor Leste itu tidak diiktiraf AFC.
Nekad mahu membersihkan nama, Simon bukan sahaja mengheret KL United ke FIFA, tetapi turut memfailkan tuntutan RM3.5 juta sebagai ganti rugi kontraknya ditamatkan tanpa alasan munasabah.
“Saya kecewa apabila kelab menghantar surat dengan mengatakan bahawa KL United tidak mengupah saya dan kekecewaan itu bertambah apabila mereka menyiarkan berita yang mengatakan bahawa alasan mereka tidak mengambil saya adalah kerana lesen saya tidak memenuhi syarat AFC.
“Dengan tindakan yang saya mulakan dengan peguam, saya ingin membersihkan nama saya dan menunjukkan kemampuan dan profesionalisme saya sebagai jurulatih kepada semua orang. Saya berharap kejadian ini tidak lagi akan terjadi kepada jurulatih lain di Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Peguam kepada pemain itu, Zhafri Aminurrashid pula berkata, “Ini adalah kes penamatan kontrak sebelah pihak di mana KL United tidak mahu meneruskan kontrak bersama Simon dengan alasan tidak munasabah.
“Jadi, kita akan mengambil dua tindakan iaitu tindakan sivil atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan mengenai kelayakan Simon yang memberi kesan kepada kariernya di mana ada pasukan yang mahukan khidmatnya tertanya-tanya kerana takut lesen tidak sah.
“Tuntutan kedua adalah kepada FIFA di mana kes ini jelas menunjukkan berlakunya pelanggaran kontrak kerana kontrak sudah ditandatangani namun atas sebab yang hanya diketahui mereka, mereka tidak meneruskan kontrak bersama Simon.
“Kita akan meminta ganti rugi dengan anggaran RM500,000 untuk kes FIFA selain pampasan RM3 juta untuk tuntutan sivil. Simon begitu kecewa dengan perkara ini dan tidak mahu selesaikannya di luar mahkamah,” katanya.
Kes membabitkan Simon Elissetche dan KL United ini juga menjadi kes pertama dari Liga Malaysia dibawa ke FIFA bagi tahun 2021.
Sebagai rekod, KL United mengumumkan pelantikan Simon Elissetche pada Disember 2020 tetapi kemudiannya bertindak memilih Bojan Hodak untuk mengemudi cabaran pasukan itu dalam Liga Super 2021.
Pasukan itu dijangka menjadi antara pasukan tumpuan bagi musim 2020 selepas merekrut beberapa pemain berkualiti antaranya Safee Sali, Hadin Azman, Irfan Zakaria, Sean Gan Gianelli, Dominique Da Sylva selain mengekalkan ramai pemain tonggak seperti Indra Putra Mahyuddin, Shukor Adan, Akram Mahinan dan Zamir Selamat.
Foto ehsan : BH Sukan, NSTP