Kecewa pengurusan UKM FC tabur janji kosong

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain-pemain pasukan UKM FC rupa-rupanya bermain secara ‘sukarela’ sejak saingan Liga Malaysia kembali bersambung sehinggalah aksi terakhir pada Sabtu lalu.

Pasukan itu tidak membayar gaji anggota pasukan sudah hampir empat bulan sejak bulan Jun lalu, sehingga ada yang terpaksa membuat kerja lain untuk meneruskan hidup.

Perkara itu didedahkan sumber terdekat pasukan kepada BHSukan.

Malah tiada kepastian jika tunggakan itu akan dibayar ataupun tidak selepas pengurusan beberapa kali membuat janji kosong, lebih-lebih lagi cabaran UKM FC bagi musim ini sudah berakhir setelah gagal layak ke saingan Piala Malaysia.

“Ini tunggakan terburuk di mana sampai hampir empat bulan pemain dan pegawai tidak menerima gaji. Sudahlah gaji dipotong 10 hingga ke 15 peratus kerana COVID-19 namun selepas latihan bersambung kembali, gaji tidak dibayar dan pengurusan hanya membuat janji kosong.

“Pengurusan sekadar mengatakan mereka tidak mempunyai dana tetapi mereka mahu pemain memberikan aksi bersungguh sungguh dan menyasarkan layak ke Piala Malaysia. Bagaimana mereka hendak fokus jika kalau kebajikan tidak dijaga?

“Rata-rata mereka pun bukannya bergaji besar, sekitar RM8,000 dan ke bawah. Ada yang sudah berkahwin dan walaupun ada menerima duit daripada institut pengajian tinggi, mereka terpaksa juga mencari pendapatan sampingan untuk meneruskan kehidupan, ada yang berniaga, ada yang buat e-hailing,” kata sumber itu.

Tambahnya lagi, “Walaupun tidak dibayar gaji, pemain dan pegawai tetap memberi komitmen ketika sesi latihan dan juga di atas padang. Namun sampai bila mereka boleh bertahan dengan isu tunggakan gaji ini? Ada yang berat hati sehingga tiada ‘mood’ untuk turun ke sesi latihan.

“Malah, beberapa minggu sebelum ini pun, ada pemain yang berdepan kesukaran untuk menghadiri sesi latihan dan situasi ini merencatkan perkembangan dan menjejaskan prestasi pasukan.”

Sebagai rekod, musim 2020 merupakan tahun kedua UKM FC bermain di Liga Premier dan pada aksi terakhir Sabtu lalu, mereka menewaskan Perak II 2-1 sekaligus menamatkan saingan di tangga kesembilan.

Pada 5 Oktober lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia mengesahkan UKM FC telah melengkapkan segala dokumentasi untuk pelesenan dan penswastaan kelab, sekaligus diberikan lesen bersyarat untuk bermain di Liga Malaysia musim depan.

Pasukan itu selepas ini akan diuruskan oleh Varsity Boys Sdn Bhd, milik Sulaiman Hussin.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.