Kedah bangkit hampakan Selangor, kemarau Sri Pahang dan TFC berpanjangan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kedah Darul Aman FC memastikan mereka kekal dalam landasan untuk terus menghambat Johor Darul Takzim di kedudukan teratas Liga Super apabila bangkit dari ketinggalan untuk membenam Selangor FC 2-1 pada Selasa.

Ketika JDT mengesahkan kemenangan 4-1 ke atas Sabah FC lebih awal, Kedah pada waktu itu sedang ketinggalan 0-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menerusi jaringan Oliver Buff.

Tetapi jaringan penyamaan Kpah Sherman menerusi sepakan penalti pada minit ke79 disusuli jaringan Kipre Tchetche enam minit kemudian memastikan kebangkitan bergaya skuad Aidil Shahrin Sahak.

Kemenangan kelima dalam enam perlawanan meletakkan Kedah ketika ini mengumpul 16 mata, hanya satu mata dipisahkan dengan JDT.

Sementara itu, Penang FC pula meneruskan rentetan aksi cemerlang mereka dalam Liga Super 2021 apabila melakar kemenangan 2-1 ke atas Melaka United seterusnya melonjak ke tangga ketiga dengan 14 mata.

Skuad Thomas Trucha mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Casagrande dan menggandakan kedudukan hanya tiga minit bersambung babak kedua, sebelum Melaka United merapatkan jurang menerusi Stefan Nikolic.

Begitupun Penang FC utuh bertahan untuk memastikan kemenangan ketiga berturut-turut, dan mereka juga tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir.

Manakala Melaka United bimbingan Zainal Abidin Hassan sedang bergelut di zon penyingkiran dengan menduduki tangga kedua tercorot.

Satu lagi aksi menyaksikan kemarau kemenangan dua pasukan jiran pantai timur, Sri Pahang FC dan Terengganu FC berpanjangan selepas kedua-dua pasukan sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1.

Dollah Salleh membuat keputusan merehatkan dua pemain import iaitu Pedro Henrique dan Mamadou Wague dalam aksi di Stadium Darulmakmur, tatkala Sri Pahang yang tidak menang dalam dua aksi terakhir mendahului awal menerusi Nor Azam Azih pada minit ke-18.

Peluang terbaik Terengganu FC menyamakan kedudukan hadir pada minit ke40 namun sepakan penalti Carli De Murga melambung melewati palang.

Ketika Sri Pahang cuba mempertahankan kelebihan satu gol untuk melakar kemenangan kedua musim ini, skuad bimbingan Nafuzi Zain berjaya juga akhirnya mendapatkan jaringan penyamaan menerusi penalti disempurnakan Jordan Mintah pada minit ke-79.

Ia menyelamatkan satu mata buat sang penyu tetapi kemarau kemenangan mereka melebar kepada empat perlawanan, selain semakin ketinggalan kepada JDT dan Kedah Darul Aman FC dalam kedudukan liga.

Foto : Facebook rasmi Kedah Darul Aman FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.