Kedah cicir mata lagi tatkala Sabah berpesta gol di Likas

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jaringan Kpah Sherman 10 minit sebelum tamat perlawanan membantu Kedah Darul Aman Fc bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang Perak FC dalam aksi kesembilan Liga Super 2021, pada Sabtu.

Ini adalah kali kedua berturut-turut skuad Aidil Shahrin mencicirkan mata selepas tewas kepada Terengganu FC dalam aksi terdahulu, sekaligus menyaksikan mereka terlepas peluang melonjak semula ke kedudukan kedua liga.

Malah jika ketika matchday tujuh jurang mata antara KDA dan pendahulu liga Johor Darul Takzim hanyalah satu mata, kini ia sudah melebar kepada enam mata.

Dalam aksi di Stadium Ipoh itu, kedua-dua pasukan menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan dan ianya Perak FC bimbingan Chong Yee Fatt membuka jaringan terlebih dahulu menerusi pemain naturalisasi Guilherme De Paula pada minit ke-58.

Seperti kebiasaan, KDA tampil lebih agresif ketika perlawanan menuju 20 minit terakhir dan berhasil untuk mendapatkan jaringan penyamaan yang menyelamatkan satu mata untuk mereka.

Sementara itu, Sabah FC pula mencatat kemenangan kedua mereka musim ini selepas membelasah pasukan tangga tercorot Uitm FC 4-0 di Stadium Likas.

Ia kekalahan kelapan, dan yang kelima berturut-turut buat skuad bimbingan Reduan Abdullah yang setakat ini hanya mengutip satu mata dalam sembilan perlawanan.

Skuad bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Sam Johnson pada minit ke-28 dan Saddil Ramdani pada minit ke-41.

Park Tae Su menjadikan kedudukan 3-0 lima minit selepas perlawanan bersambung di babak kedua sebelum pemain gantian Bobby Gonzales melengkapkan kemenangan besar tiga minit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan dilihat hadir sebagai kelegaan buat kem Sabah yang dihimpit isu luar padang sehingga ditegur oleh pemangku presiden Persatuan Bolasepak Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin baru-baru ini.

Dalam aksi Liga Premier pula, Kelantan United menewaskan skuad Projek FAM-MSN 3-0 sekaligus menghadiahkan kekalahan kelapan kepada skuad bimbingan Yusri Che Lah itu.

Jaringan Asraf Alifudin, Hariz Kamarudin dan Gassama Alfusainey mengesahkan kemenangan buat sang kijang hijau.

Satu lagi aksi menyaksikan Terengganu FC II bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan JDT II 4-3 di Kuala Terengganu.

Foto kredit : Facebook rasmi Kedah Darul Aman FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.