Kedah jumpa JDT di Darul Aman tanpa penyokong

MFL pinda jadual terutama babitkan pasukan KDAFC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kem Kedah Darul Aman menerima satu lagi perkhabaran kurang gembira, apabila mereka akan melayan kunjungan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim di Stadium Darul Aman pada 4 Mei ini tanpa kehadiran penyokong.

Malaysian Football League (MFL) mengumumkan perlawanan itu diadakan secara tertutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di beberapa daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim bermula 1 hinga 14 Mei depan, berikutan peningkatan kes Covid-19.

Justeru itu, tiada jualan tiket dibenarkan dan tiket-tiket yang telah terjual akan dibayar balik oleh pihak TicketHotline International.

“MFL ambil maklum mengenai pengumuman terkini status PKP di negeri Kedah jadi MFL akan mengetatkan pematuhan SOP dan tahap disiplin gelembung sukan kepada pegawai dan pemain kedua-dua pasukan, pegawai-pegawai perlawanan dan petugas- petugas perlawanan di mana Ujian RTK Antigen terbaharu hendaklah dibuat sehari sebelum atau pada hari perlawanan.

“Jadi, SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton adalah diaktifkan semula sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini sehingga perkembangan terbaharu diumumkan oleh pihak kerajaan kelak.

“Saya berharap agar semua pihak terlibat akan terus mematuhi segala SOP yang ditetapkan bagi keselamatan dan kesihatan diri masing-masing serta kelancaran saingan Liga Malaysia musim ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan.

Sebagai rekod, MFL membenarkan kehadiran penyokong ke stadium bermula awal bulan ini, dengan Stadium Darul Aman menerima kehadiran penyokong untuk kali pertama ketika perlawanan menentang Terengganu FC.

Meskipun beraksi tanpa penyokong bukanlah satu perkara baru, malah KDA sendiri telah bermain tiga perlawanan tempat sendiri musim ini – lawan Sabah, PJ City dan Pahang – tanpa penyokong, kehadiran mereka perlu diakui memberi semangat dan aura tambahan kepada barisan pemain KDA.

Ini dapat disaksikan dengan nyata apabila sorakan penyokong membantu mereka menterjemahkan kebangkitan sensasi dengan menjaringkan dua gol masa kecederaan untuk membenam KL City pada 23 April lalu.

Terdahulu pada Jumaat, kem KDA menerima tamparan apabila pemain muda Fadzrul Danel Mohd Nizam digantung tambahan tiga perlawanan susulan kad merah diterima ketika menentang Terengganu FC, ini termasuklah perlawanan menentang JDT.

Bagaimanapun Aidil Shahrin Sahak akan dapat menggunakan semula khidmat pemain pertahanan, Rodney Akwensivie.

Foto ehsan : Facebook Official Kedah Darul Aman FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.