Mengharungi lima perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan dalam saingan Liga Super nyata satu rekod yang boleh dikatakan sangat buruk buat sebuah pasukan elit seperti Kedah Darul Aman FC.
Kali terakhir mereka merasai nikmat kemenangan dalam liga adalah ketika menewaskan Penang FC dan selepas itu mencatat dua keputusan seri serta tewas tiga kali.
Bagi Aidil Sharin Sahak, kemenangan adalah sesuatu yang sangat diperlukan pasukannya dalam situasi ketika ini dan berharap mereka dapat melakukannya apabila turun menentang Sarawak United pada Selasa.
“Kita tiada pilihan selain wajib mengutip tiga mata apabila beraksi di laman sendiri, dan peluang ini tidak harus disia-siakan memandangkan kita punyai kelebihan beraksi di laman sendiri dan dihadiri penyokong setia dalam perlawanan ini.
“Apa yang penting saya mahu pemain teruskan fokus, tingkatkan komitmen mereka dalam memburu kemenangan kerana kerana kita tidak boleh lagi kehilangan mata dengan kedudukan tangga ketujuh pada ketika ini.
“Saya juga yakin semua pemain kini memiliki peluang seimbang dan terbaik untuk membuktikan kemampuan masing-masing dan kebangkitan yang dicari kali ini tidak harus kita lepaskan,” kata Aidil Sharin dipetik daripada BH Sukan.
Perkara sama dikongsi pemain pertahanan Kedah, Rodney Celvin yang mengakui hanya kemenangan boleh memulihkan moral para pemain namun dalam masa sama mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang mudah cabaran Sarawak United.
“Memang ramai antara kami, sedikit jatuh daripada segi semangat apabila gagal menang dalam perlawanan terakhir dan harap kami boleh meraih tiga mata pada esok.
“Ditambah bermain di laman sendiri, saya harap kami akan tampil lebih bersemangat dan mampu tamatkan kemarau kemenangan.
” Namun, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan Sarawak yang kini di bawah jurulatih baharu (S.Balachandran) dan mereka sudah pasti ada cara permainan tersendiri.
“Jika leka dan banyak berikan ruang kepada mereka, saya rasa kami boleh dihukum kerana Sarawak juga dalam posisi mahukan kemenangan bagi menjauhi zon penyingkiran,” katanya.
Kedah ketika ini di tangga ketujuh dengan 14 mata selepas beraksi 10 perlawanan.