Kedah tak ‘kacau’ import, hanya pemain tempatan dibawa masuk

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman, Khamal Idris Ali mengesahkan pasukan itu tidak akan merombak barisan pemain import mereka dalam jendela perpindahan kedua sepertimana hangat diperkatakan di media sosial.

Beberapa pemain termasuk bekas pemain import Terengganu FC Sanjar Shaakhmedov dikaitkan dengan pasukan Lang Merah sebagai pengganti Rabih Ataya yang kurang menyengat musim ini, namun Khamal Idris Ali menyifatkan ia sekadar khabar angin.

Ini bermakna Rabih Ataya bersama-sama empat pemain import lain iaitu Kpah Sherman, Anumanthan Kumar, Kipre Tchetche dan Renan Alves akan terus membawa cabaran Kedah Darul Aman dalam saingan musim ini.

“Benda tu (perpindahan Sanjar) tak sampai kepada pengetahuan saya pun, biasalah ‘rumours’ macam-macam (melibatkan) Hafizul Hakim dan ramai lagi nak datang ke Kedah dan sebagainya, tetapi tiada sebarang rundingan pun.

“Setakat ini, kedudukan kita tidak nampak sangat kritikal untuk gantikan pemain tetapi ada satu (atau) dua yang kita buat perubahan,” kata Khamal Idris Ali kepada Sukanz tanpa mendedahkan nama-nama pemain yang bakal dibawa masuk.

Menurut Khamal Idris Ali lagi, mengikat pemain baharu pada pertengahan musim memerlukan pihaknya meneliti pelbagai faktor seperti kewangan, prestasi pasukan dan pemain sedia ada.

“Rasanya perubahan tak besar pun dalam usaha kita nak kekalkan pasukan kita, ianya melibatkan pemain tempatan sahaja. Setakat ini, (kelima-lima) pemain import kita tak ‘kacau’, insya-Allah kita akan kekalkan,” tambahnya lagi.

Sepertimana menurut Khamal Idris Ali, kedudukan Kedah Darul Aman di tangga ketiga Liga Super menunjukkan tidak perlu ada rombakan besar dibuat pada pasukan.

Skuad bimbingan Aidil Shahrin Sahak ketika ini ketinggalan empat mata di belakang Johor Darul Takzim dengan baki sembilan perlawanan untuk diharungi, dan mereka juga akan memulakan cabaran di pentas AFC pada hujung bulan depan.

Sementara itu, pemain pertahanan berusia 26 tahun Zulkhairi Zulkeply menjadi pemain pertama dilepaskan Kedah Darul Aman pada jendela perpindahan kali ini.

“KDA FC telah mencapai persetujuan bersama Zulkhairi untuk melepaskan beliau kepada pasukan baharu untuk baki saingan musim ini.

Pengalaman paling berharga buat dirinya sejak mewakili Kedah musim 2020 ialah ketika beraksi di perlawanan Play-Off Liga Juara-Juara AFC menentang FC Seoul di Korea Selatan awal musim lalu.

“Selain itu, beliau juga cemerlang membantu pasukan Kedah layak ke saingan Piala AFC 2021 setelah menamatkan saingan Liga Super Malaysia di tempat kedua musim lalu,” menurut kenyataan kelab itu.

Foto ehsan : FB Official Kedah Darul Aman FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.