Kedah tawar kontrak, tapi Aidil Shahrin masih 50-50

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) nampaknya telah menawarkan kontrak baru kepada ketua jurulatih Aidil Shahrin Sahak.

Ia diakui Aidil Shahrin tetapi pengendali dari Singapura itu mendedahkan dia belum pasti sama ada mahu atau tidak menerima tawaran lanjutan kontrak tersebut.

“Sejujurnya saya masih berbincang dengan keluarga saya untuk menentukan sama ada mahu kekal di Kedah atau ke pasukan lain.

“Buat masa ini, saya hanya fokus kepada perlawanan yang akan datang kerana tiga perlawanan terakhir ini amat penting untuk kami mengekalkan kedudukan kedua.

“Kedah sudah lama tidak berada di kedudukan itu, jadi dalam seminggu dua ini, saya akan mendapatkan jawapannya (mengenai kontrak).

“Memang hati saya selalu berada di Kedah tetapi kita perlu melihat faktor yang lebih besar kerana saya seorang jurulatih yang sukakan cabaran.

“Memang saya amat rapat dengan pemain Kedah dan itu adalah salah satu faktor kenapa saya masih berada di Kedah walaupun pernah lima bulan tidak dibayar gaji,” katanya dilaporkan Stadium Astro.

Di sebalik bermula dengan kekalahan dalam dua aksi pertama serta dihimpit masalah tunggakan gaji, Aidil Shahrin telah memacu Kedah ke kedudukan kedua dengan memenangi lima aksi terakhir, terbaru menang ke atas Sabah pada Isnin lalu.

Kedah mengumpul 16 mata dan jika kekal di kedudukan kedua, mereka akan layak beraksi di Piala AFC.

Aidil Ahahrin sebelum ini telah menyatakan kebimbangan apabila masih belum ditawarkan kontrak baru oleh KFA meskipun musim menghampiri penghujung.

Tetapi ketika itu Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor seolah memberi gambaran khidmatnya tidak lagi diperlukan dan boleh berpindah ke mana dia mahu, sambil menegaskan pertukaran jurulatih adalah perkara biasa dalam bolasepak.

Baca : Beri gambaran Aidil Shahrin tidak lagi diperlukan, Presiden KFA dikecam hebat 

Mengenai spekulasi mengaitkannya dengan pasukan seperti Selangor dan Perak, Aidil Shahrin tegaskan ia kekal sebagai spekulasi.

Sebagai rekod Aidil Shahrin membimbing Kedah bermula 2019 dan pada musim pertamanya berjaya membawa pasukan itu muncul juara Piala FA seterusnya layak beraksi di pusingan kelayakan Liga Juara Asia.

Foto ehsan : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.