Kedah tutup peluang Terengganu kejar JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Peluang Terengganu FC untuk mengejar Johor Darul Takzim (JDT) tertutup, selepas mengalami kekalahan 0-2 di tangan Kedah Darul Aman.

Ini sekaligus menyaksikan JDT bimbingan Benjamin Mora hanya memerlukan tiga mata sahaja lagi untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali kelapan, selepas mereka turut menang 2-0 ke atas PJ City.

Secara matematik, hanya Kedah yang kini mempunyai peluang untuk menyekat JDT dari bergelar juara, itupun sekiranya mereka menang kesemua baki enam perlawanan manakala JDT pula tewas semua tiga perlawanan.

Kemenangan ke atas Sri Pahang pada 27 Ogos di laman sendiri di Stadium Sultan Ibrahim Larkin akan menyaksikan JDT bermain bunga api sekali lagi.

Aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menyaksikan Terengganu turun dengan menyedari mereka wajib menang ke atas Kedah.

Tetapi pada akhirnya skuad bimbingan Nafuzi Zain terpaksa akur dengan kekalahan menerusi jaringan Rabih Ataya pada minit akhir separuh masa pertama, serta jaringan Syazwan Zainon pada minit ke-50.

Gol tunggal Terengganu dijaringkan David Da Silva menerusi sepakan percuma pada minit ke-70 dengan Ifwat Akmal Chek Kassim sekadar terpaku melihat bola menerjah jaring namun jelas ia sedikit terlewat untuk mereka menjelmakan kebangkitan.

Terengganu kekal di tangga kedua dengan 37 mata, ketinggalan 11 mata di belakang skuad harimau selatan manakala Kedah pula melonjak ke tangga keempat dengan 32 mata.

Sementara itu JDT yang bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya meraih kemenangan menerusi jaringan Bergson da Silva dan Mohamadou Sumareh.

Ia adalah kemenangan ke-15 buat JDT musim ini, menyaksikan mereka mendahului carta liga dengan 48 mata.

Dalam satu lagi aksi, Selangor FC mudah membenam Perak 3-0 di Stadium Ipoh, menerusi jaringan Oliver Buff dan dua gol Ifedayo Olusegun.

Kemenangan keempat berturut-turut menyaksikan skuad bimbingan Karsten Neitzel melonjak ke tangga ketiga manakala Perak FC pula kekal di kedudukan kedua tercorot dengan 13 mata.

Foto ehsan : Kedah Darul Aman FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.