Johor Darul Takzim bertandang ke Likas untuk aksi Liga Super menentang Sabah FC pada Jumaat, dengan membawa dua rekod gah.
Pertamanya mereka tidak tewas dalam 25 perlawanan Liga Super sejak tewas kepada Terengganu pada April tahun lalu; manakala yang kedua mereka tidak tewas di gelanggang lawan dalam 40 perlawanan sejak Mac 2018.
Adakah kedua-dua rekod tersebut dapat dipertahankan ketika berdepan Sabah FC yang bakal turun dengan keyakinan tinggi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri.
Pengendali Sabah, Dato’ Ong Kim Swee menyifatkan kehadiran ribuan penyokong yang sanggup datang sejak awal pagi untuk membeli tiket di Stadium Likas pada Khamis sebagai satu keyakinan kepada Sabah FC untuk berdepan dengan JDT.
“Kalau kita lihat penyokong yang datang membeli tiket dari awal pagi ini, ia menunjukkan keyakinan penyokong terhadap Sabah FC.
“Dengan adanya keyakinan ini saya percaya pemain juga akan bertambah semangat untuk mengharungi 90 minit atau 100 minit perlawanan nanti,” katanya.
Stadium Likas dijangka dibanjiri puluhan ribu penyokong malam ini berdasarkan sambutan luar biasa jualan tiket perlawanan secara fizikal semalam dan secara dalam talian yang bermula sejak minggu lalu.
Kim Swee juga berharap situasi itu bukan saja berlaku ketika kehadiran JDT, malah ketika pasukan lain seperti Terengganu dan Selangor yang akan bertandang ke Stadium Likas selepas ini.
Sementara itu, Kim Swee memaklumkan pasukannya tiada masalah kecederaan pemain utama dengan hanya seorang pemain sayap, Dirga Surdi tidak dapat diturunkan disebabkan kecederaan lutut.
“Yang tidak boleh beraksi hanya Dirga, yang mengalami kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament), manakala yang lain semuanya berada dalam tahap yang cukup baik,” kata Kim Swee.
Mengulas perancangannya berdepan JDT kali ini, Kim Swee berkata tidak banyak perubahan dilakukan, namun menjelaskan strategi perlawanan bergantung kepada situasi semasa ketika permainan sedang berlangsung.
“Tidak banyak perubahan apabila kita bermain dengan mana kelab sekalipun tapi sudah tentu kita mempunyai perancangan termasuk juga JDT.
“Apabila permainan berlangsung di situlah kita harus memikirkan mengenai strategi pertukaran formasi atau apa yang perlu kita lakukan, ia terpulang kepada keadaan semasa perlawanan,” katanya.
Kredit foto : Sabah Football Club