Kekal sahaja dengan perancangan asal, tidak perlu ubah jadual

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kekal sahaja dengan perancangan untuk memulakan kembali Liga Malaysia pada bulan September.

Itu pinta pemain pertahanan berpengalaman Kuala Lumpur, Shukor Adan kepada Malaysia Football League (MFL).

Shukor berkata ia bagi memastikan semua pasukan berada di tahap maksima dan mengelakkan risiko kecederaan dalam kalangan pemain.

Ia juga mengambil kira kebenaran latihan penuh kontak yang bermula 15 Julai ini sekaligus memberikan masa lebih lama sekurang-kurangnya enam minggu kepada pasukan membuat persiapan menyeluruh termasuk mengadakan aksi persahabatan.

Bagaimanapun, Shukor menyerahkan semua ketetapan kepada MFL untuk membuat keputusan sambil bersedia jika saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier dimulakan pada pertengahan Ogos atau awal September.

“Kalau diikutkan, saya lagi suka bermain pada 1 September seperti kita ketahui sebelum ini kerana memberikan masa yang lebih kepada pasukan membuat persiapan dan pemain mendapatkan kecergasan berbanding 15 Ogos.

“Bukan semua pasukan bermula awal sebaik dibenarkan latihan fasa 1 pada 15 Jun lalu, seperti Kuala Lumpur kami hanya bermula 29 Jun iaitu dalam tempoh dua minggu sahaja.

“Jadi saya rasa jika kekal pada 1 September, situasi itu lebih baik kepada semua pasukan tambahan kami sempat mengatur perlawanan persahabatan.

“Apa jua keputusan MFL nanti, saya dan pemain lain di Kuala Lumpur sedia patuhi serta akan cuba bersiap sedia pada tarikh permulaan liga yang akan ditetapkan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan sukan bersentuhan fizikal bagi sukan berpasukan bermula pada 15 Ogos ini.

Pengumuman ini termasuk penganjuran Liga Malaysia namun kehadiran penonton masih belum dibenarkan dan hanya terhad kepada pertandingan dalam negara sahaja.

SHAHREL SENADA DENGAN SHUKOR

Turut senada dengan Shukor, penyerang Perak, Shahrel Fikri yang menekankan pentingnya perlawanan persahabatan sebelum saingan Liga Malaysia bermula.

Justeru, sekiranya Liga Malaysia bermula pada September, semua pasukan akan mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan perancangan sebaik sahaja latihan secara “body contact” bermula.

“Sebagai pemain, saya sentiasa bersedia bilakah saingan akan kembali bersambung tidak kira bulan Ogos atau September.

“Tapi, sekiranya bermula pada Ogos, mungkin jadual liga tidak akan terlalu padat, dan jika bermula pada September, pasukan akan ada banyak masa lagi untuk bersedia dan melakukan aksi persahabatan selepas ini.

“Mungkin Ogos terlalu cepat sangat dan kalau terlalu terburu-buru, lain pula jadinya, tetapi apa pun keputusan yang akan dibuat, saya positif ia demi kebaikan semua pasukan”, jelasnya.

Foto : MFL

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.