Kekuatan Jenama JDT Pikat Aston Martin Racing Asia

Aston Martin x JDT
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kekuatan jenama Johor Darul Takzim (JDT) nampaknya terus memikat jenama-jenama terkemuka antarabangsa untuk tampil bekerjasama.

Terbaru pada Selasa, JDT mengumumkan kerjasama bersejarah bersama jenama terkemuka dunia, Aston Martin Racing Asia sekaligus mengukuhkan lagi jenama Harimau Selatan sebagai peneraju bola sepak di Asia Tenggara.

Kerjasama itu juga akan menyaksikan Aston Martin HQ mengeluarkan rekaan edisi terhad bertema JDT untuk rangkaian kereta mereka yang akan dijual oleh kelab, di mana keuntungan dari jualan akan dikongsi di antara JDT dan Aston Martin.

“Kami berbangga serta gembira dapat mencapai persetujuan dengan Ibu Pejabat jenama tersebut yang berpusat di United Kingdom dan pejabat Asia,” menerusi satu kenyataan kelab.

“Kerjasama dengan syarikat permotoran British ini bukan sahaja memberikan nilai kewangan kepada JDT, tetapi juga membuka peluang kepada JDT, Johor dan Aston Martin Racing bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk tahun-tahun yang akan datang.”

Kerjasama ini juga boleh digambarkan sebagai kerjasama antara juara dalam bidang masing-masing dengan JDT selaku juara Liga Super tujuh kali berturut-turut manakala Aston Martin pula adalah juara perlumbaan Le Mans Endurance 2020.

JDT adalah juara di padang dengan kejayaan yang konsisten dan mendominasi tajuk-tajuk berita di luar padang dengan infrastruktur berkelas dunia, kekuatan jenama serta hubungan dengan kelab terkemuka antarabangsa, individu, organisasi dan entiti perniagaan.

Aston Martin Racing pula merupakan salah satu jenama antarabangsa yang bekerjasama dengan Harimau Selatan. Sebelum ini beberapa jenama terkemuka antarabangsa lain yang menjadi penaja dan rakan strategik termasuk UNICEF, Nike, Hublot, Subway, F&N, SWAG EV dan banyak lagi.

Kerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa ini juga menunjukkan peningkatan jenama kelab yang hebat dan kukuh sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa sejak JDT ditubuhkan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor pada 2013.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.