‘Kelab besar boleh bantu menangi tempat dalam skuad Harimau Malaya’ – Swirad

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain berdarah kacukan, Nicholas Ryan Swirad sah diumumkan sebagai pemain terbaru Sri Pahang FC bagi baki saingan Liga Malaysia 2021.

Pemain berusia 30 tahun itu memeterai kontrak selama enam bulan sehingga hujung musim ini bersama Sri Pahang, sekaligus menjadi pemain kelima dibawa masuk di jendela perpindahan kedua selepas Manuel Hidalgo, Kenny Athiu, Aung Kaung Mann dan Abu Bakar Yakubu.

Sri Pahang adalah kelab Liga Malaysia kelima pemain kelahiran Manchester itu selepas Johor Darul Takzim II, Melaka United, PKNS FC dan Selangor.

Sejurus menandatangani kontrak, Nick Swirad tidak berselindung menyatakan antara sebab memilih Sri Pahang meskipun dia cuba dipancing beberapa pasukan lain dalam Liga Malaysia adalah kerana keinginannya untuk menyarung jersi negara.

Ini kerana hasrat Nick Swirad untuk membuat penampilan dalam Liga Satu Thailand bersama Nongbua Pitchaya musim ini tidak kesampaian gara-gara tidak mempunyai bilangan penampilan mencukupi bersama skuad kebangsaan, walaupun dia membantu pasukan itu muncul juara Divisyen 2 pada bulan Mac lalu.

“Mana-mana pemain pun akan menyasarkan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan, penyertaan saya dalam kelab besar seperti Sri Pahang akan membantu. Tetapi matlamat utama saya ialah untuk memenangi tempat dan menyumbang kepada kelab terlebih dahulu.

“Kalau ia menjadi kenyataan maka ia (bermain untuk negara) akan berlaku, jadi tumpuan saya ketika ini ialah membantu Sri Pahang,” katanya dalam temubual di Nadi Arena. 

Nick Swirad pernah memenangi panggilan ke kem latihan pusat Harimau Malaya pada Mac 2019 tetapi dia terlepas peluang untuk membuat penampilan sulung kerana mengalami kecederaan pangkal paha.

Kehadiran Nick Swirad yang turut berpengalaman beraksi bersama beberapa kelab divisyen bawahan England memberi lebih pilihan kepada Dollah Salleh yang sedia mempunyai kelibat Herold Goulon dan Muslim Ahmad di jantung pertahanan, lebih-lebih lagi untuk memperbaiki prestasi defensif Sri Pahang yang agak teruk.

Sri Pahang adalah pasukan kedua melepaskan paling banyak gol selepas Uitm FC selepas mengharungi 13 perlawanan Liga Super musim ini.

“Bola sepak adalah satu persaingan tetapi dalam masa sama, saya perlu bekerjasama dengan rakan sepasukan. Saya akan tetap akan berusaha membantu pasukan, baik di atas dan luar padang. Namun, saya harap dapat beraksi,” tambahnya.

Kredit foto : Stadium Astro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.