Kelantan FC hari ini menjawab dakwaan yang dibangkitkan mengenai mereka sehingga kini belum menyelesaikan tunggakan gaji empat bekas pemain iaitu Nazrin Nawi, Nik Akif Shahiran Nik Mat, Farisham Ismail dan Shahrul Nizam Ros Hasni.
Dalam satu kenyataan, kelab itu mengakui gaji bulan terakhir empat pemain itu bagi musim 2020 belum dibayar berikutan mereka menolak untuk menerima gaji yang ditawarkan pengurusan seterusnya membawa kes ke Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM).
“Kesemua pemain Kelantan FC (bagi musim tersebut) telah dibayar gaji sepenuhnya kecuali 4 pemain yang disebut di atas yang menolak untuk menerima gaji yang ditawarkan pihak pengurusan kami pada November 2020.
“Alasan 4 pemain ini menolak gaji ditawarkan adalah kerana mereka menuntut untuk dibayar gaji penuh, sedangkan ketika itu 90 peratus pemain lain telah bersetuju dan memahami isu pandemik Covid19 yang menyebabkan ketiadaan penaja, dan ketiadaan penjualan tiket bagi penyokong memasuki stadium,” menurut penasihat undang-undang Kelantan FC, Shairuz Sheffie.
Kelab itu turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pemain termasuk import pada waktu itu yang memahami masalah dihadapi pengurusan dan bersetuju menerima gaji separuh bulan.
“Ramai pemain yang tidak memahami isu gaji telah dimasukkan dalam klausa kontrak iaitu hari terakhir beraksi adalah pada 8 November 2020 dan kesemua latihan pasukan musim tersebut telah dibubarkan.
“4 pemain yang telah disebutkan ini sahaja masih bertegas mahu gaji penuh dan PFAM sudahpun mewakili merela bagi tuntutan gaji penuh. Pihak pengurusan sedang meneliti perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” tambahnya.
Sebagai rekod, isu ini pernah dibangkitkan pada musim lalu oleh pemain-pemain yang terlibat dan ketika itu pemilik pasukan, Norizam Tukiman telah pun memberi maklumbalas bahawa pihaknya meminta pertimbangan daripada mereka untuk memahami situasi kelab yang tidak dapat menjana kewangan.
Namun PFAM mempertahankan mereka dengan mengatakan bahawa Kelantan FC tidak ada justifikasi wajar untuk meminta pemain menerima pemotongan gaji, selain tidak berlandaskan kepada ketetapan kontrak antara kedua-dua pihak.