Kelantan FC Berpotensi Terlepas Slot Piala Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelantan FC tiada pilihan selain menewaskan Selangor II dalam aksi terakhir Liga Premier 2021, jika tidak mahu berputih mata terlepas slot beraksi di Piala Malaysia.

Mereka sepatutnya boleh mengesahkan tiket beraksi di saingan berprestij itu seandainya berjaya menewaskan JDT II pada Sabtu, tetapi sebaliknya berlaku apabila skuad dibimbing Reezal Zambery Yahya kecundang 0-3.

Hanya lima pasukan Liga Premier (ditolak feeder team) akan layak beraksi di Piala Malaysia dengan dua slot sudah disambar oleh Sarawak United dan Negeri Sembilan.

Baki tiga slot kini menjadi buruan PDRM FC, Kelantan FC, Kuching City dan Kelantan United.

Secara matematik, Kelantan FC wajib menang ke atas Selangor II untuk mara kerana mereka berpotensi dipintas oleh Kuching City dan Kelantan United jika dua pasukan itu menang dalam baki perlawanan masing-masing.

Situasi Kelantan FC :

i) Menang ke atas Selangor II, layak tanpa perlu tengok keputusan perlawanan lain.

ii) Seri/kalah dengan Selangor United, kena harap Kelantan United tercicir mata dalam salah satu daripada dua perlawanan.

iii) Terus layak jika Kelantan United kalah kedua-dua perlawanan

Pokok pangkalnya, peluang Kelantan FC untuk melangkah kini akan ditentukan sama ada oleh mereka sendiri iaitu dengan menewaskan Selangor II atau ditentukan oleh Kelantan United.

Sementara itu ini reaksi Reezal Zambery Yahya selepas pasukannya dibelasah JDT II.

“Sudah tentu saya sedikit kecewa dengan prestasi pemain pada petang ini (Sabtu) tapi ia disebabkan kita kehilangan beberapa pemain utama akibat kecederaan pada saat akhir dan ia menjejaskan perancangan kita. Kita tidak begitu stabil terutama di posisi pertahanan dan serangan.

“Ketiadaan Mario adalah sangat dirasai, kalau tengok beberapa game lepas kita memang game plan kita pertaruhkan midfield untuk lakukan serangan tapi kali ini saya terpaksa letak dua defensif midfield dan bermain taktik bertahan dan ia menyebabkan serangan kita tidak menjadi. Kita tetap ada peluang-peluang menjaringkan gol dan sudah berusaha tapi ketiadaan pemain utama merencatkan permainan kita.”

Reezal Zambery bagaimanapun berkeyakinan Kelantan FC akan dapat menyambar slot beraksi di Piala Malaysia.

“Kita sepatutnya sudah layak kerana hanya mahukan satu kemenangan, tapi macam saya kata permainan terjejas sebab kecederaan last minit. Saya yakin pada perlawanan terakhir jika dapat menurunkan kesebelasan terbaik, kita boleh tewaskan Selangor II dan layak.

“Malah kita masih berpeluang perbaiki kedudukan dalam liga, naik ke tangga kelima. Beza mata tak jauh dengan PDRM yang akan jumpa Negeri Sembilan pada akso terakhir. Jadi kita fokus menang aksi terakhir.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.