Kelantan FC cuba bawa masuk 4 pemain berprofil tinggi Harimau Malaya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelantan FC bercadang membawa masuk empat pemain berprofil tinggi skuad kebangsaan bagi memperkuatkan cabaran pasukan itu dalam saingan Liga Premier 2021.

Pemilik pasukan itu, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham mengesahkan perkara itu dan menurutnya rundingan sudahpun bermula antara kedua-dua pihak.

“Kami dalam peringkat perbincangan, identiti keempat-empat mereka tidak boleh didedahkan bagi menjaga kepentingan kedua-dua pihak.

“Kesemua mereka menunjukkan minat untuk menyertai Kelantan FC tetapi proses rundingan beberapa perkara dilakukan terutamanya aspek gaji yang ditawarkan sebelum keputusan dilakukan daripada keempat-empat pemain terbabit, harap semua berjalan lancar.

“Sekiranya tidak berjaya mendapatkan pemain itu kami akan memberi tumpuan kepada perancangan sebelum ini bagi menggunakan sepenuhnya khidmat pemain muda yang membarisi pasukan Kelantan,” katanya kepada Bernama.

Tambah Norizam, tiga daripada empat pemain import yang akan menyarung jersi Kelantan FC masing-masing dari England, Greece dan Sepanyol dijangka tiba di Kota Bharu pada hujung bulan ini.

Sebagai rekod, Kelantan FC pada musim ini akan dibarisi 90 peratus anak tempatan dan Norizam berharap pemain-pemain akan segera serasi dengan DNA baru The Red Warriors (TRW) yang diterapkan jurulatih dari Itali, Marco Ragini.

“90 peratus pemain utama nanti, maksud saya kesebelasan utama Kelantan FC, Piala Presiden dan Belia, kebanyakan akan dibarisi pemain anak jati Kelantan, selain itu ada juga dari Terengganu, Kuala Lumpur dan sebagainya.

“Bagi pemain import kita akan guna empat orang dan mereka pemain yang mempunyai pengalaman dalam liga-liga utama. Pemain-pemain muda mudah dibentuk bak kata perpatah ‘melentur buluh biarlah dari rebung’,” katanya sambil memberitahu bahawa perancangan awal memperkenalkan senarai pemain Kelantan FC pada bulan ini terpaksa ditunda disebabkan pandemik Covid-19.

Sejak mengambil alih pasukan Kelantan FC pada September 2020, Norizam telah membelanjakan duit sendiri lebih dari RM8 juta untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pasukan itu termasuklah kes-kes pemain dan jurulatih import yang dibawa ke FIFA, yang sekaligus menyaksikan sekatan perpindahan pemain yang dikenakan ke atas mereka dibatalkan.

Baru-baru ini mereka diarahkan pula untuk membayar tuntutan 11 lagi bekas pemain oleh Jawatankuasa Status FAM, namun Persatuan Bolasepak Kelantan telah bersetuju untuk membayar hutang tersebut.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.