Kelantan FC di ‘petak hadapan’, nasib kini di tangan sendiri

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Nasib Kelantan FC sama ada boleh layak atau tidak beraksi di Piala Malaysia, kini di tangan mereka sendiri, bukan lagi ditentukan oleh pasukan lain.

Dengan Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sudahpun mengesahkan slot masing-masing, tiga lagi pasukan sedang bersaing untuk melengkapkan jumlah lima pasukan dari Liga Premier yang akan beraksi di Piala Malaysia.

Enam pasukan masih berpeluang untuk menyambar tiga slot berbaki itu, iaitu Kelantan FC, Kuching FA, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, UKM FC dan Sarawak United FC.

Ianya skuad bimbingan Yusri Che Lah yang ketika ini berada di ‘petak hadapan’ untuk menjadi satu daripada tiga pasukan itu, susulan kegagalan Kelantan United FC, Negeri Sembilan dan UKM FC mengutip tiga mata pada matchday 9.

Tatkala Kelantan FC meraih kemenangan ke atas Sarawak United, Kelantan United pula mengalami kekalahan kelima berturut-turut selepas kecundang kepada Terengganu FC II; Negeri Sembilan tewas kepada Kuching FA manakala UKM FC tewas kepada Pulau Pinang.

Baca : Yusri Che Lah berterima kasih kepada kecemerlangan Fikri Che Soh

Baca : Yusri Che Lah bersyukur TRW dapat pemilik tahu pasal bola

Ini sekaligus membolehkan The Red Warriors kekal di tangga kelima dengan 11 mata, dan memimpin pemburuan untuk layak ke pertandingan berprestij itu.

Sebelum ini setelah ditolak tiga mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji, ditambah dengan prestasi yo-yo dalam liga, Kelantan FC dikhuatiri bakal terlepas peluang bermain di Piala Malaysia sekali lagi musim ini.

Kelantan FC yang merupakan juara Piala Malaysia dua kali pada 2010 dan 2012 tidak layak ke pertandingan itu pada musim lalu selepas menamatkan saingan Liga Premier di kedudukan kedua tercorot, dan sekadar beraksi di Piala Cabaran.

Kini apa yang perlu mereka lakukan, tidak perlu memikirkan keputusan membabitkan pasukan lain, sebaliknya hanya perlu menang ke atas Negeri Sembilan dalam aksi berikutnya di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu pada 3 Oktober nanti.

Satu kemenangan itu sudah memadai untuk Yusri Che Lah membawa pasukannya ke Piala Malaysia namun perlu diingat Negeri Sembilan juga mempunyai matlamat sama.

Jika gagal untuk tewaskan Negeri Sembilan, Kelantan FC memilih jalan sukar kerana menanti mereka pada perlawanan terakhir adalah JDT II, di tempat lawan.

Jadi kenapa perlu pilih jalan sukar pada ketika jalan mudah ada di depan mata. Kelantan FC, anda tentukan nasib sendiri.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.