Kelantan FC selar keengganan lima bekas pemain terima pemotongan gaji

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengurusan pasukan Kelantan FC menyelar keengganan lima bekas pemain pasukan itu bagi musim 2020 menerima pengurangan gaji bulan terakhir di dalam kontrak mereka.

Lima pemain itu iaitu Masaki Watanabe (import), Farisham Ismail, Shahrulnizam Ros Hasni, Nik Akif Syahiran Nik Mat (gambar utama) dan Nazrin Nawi telah menghantar tuntutan gaji penuh bagi bulan November 2020 kepada Kelantan FC menerusi Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM).

PFAM memberi tempoh selama 10 hari kepada Kelantan FC untuk menjelaskan bayaran tersebut.

Masaki Watanabe tahun ini akan beraksi dengan Terengganu FC II manakala Nik Akif Syahiran dan Shahrulnizam Ros Hasni telah menyertai Terengganu FC.

Namun tidak ada sebarang perkembangan mengenai halatuju karier Farisham Ismail dan Nazrin Nawi.

Tunggakan gaji Kelantan FC Kelantan FC selar keengganan lima bekas pemain terima pemotongan gaji

Walaupun pasukan itu dilihat bersedia membayar tuntutan berjumlah keseluruhan RM158,857 itu tetapi mereka jelas kecewa dengan sikap tidak mahu bertolak ansur ditunjukkan lima pemain itu lebih-lebih lagi pemain lain sudah bersetuju untuk pemotongan gaji dilakukan kerana memahami situasi pasukan.

Menurut kenyataan Kelantan FC, mereka sudah menelefon, menulis surat, dan merayu kepada lima pemain tersebut supaya menerima pengurangan gaji kerana pihak pengurusan The Red Warriors yang baru sudah menyelesaikan tunggakan gaji pemain sebelum ini.

“Selain itu, pasukan juga tidak dapat menjana pendapatan disebabkan oleh pandemik Covid-19 kerana tiada penonton dibenarkan masuk ke Stadium.

“Perlawanan terakhir pasukan Kelantan FC bagi bulan November juga hanya sekali iaitu pada 8hb November 2020 dan adalah tidak adil bagi pemain lain yang sudah bersetuju dengan bayaran separuh gaji bagi bulan November 2020.

“Walaupun benar, pihak pengurusan baharu perlu mengikut apa yang ada di dalam kontrak, pemain nampaknya lebih mementingkan diri sendiri tanpa ada timbang rasa sewajarnya.

“Pengurusan baru akan membayar apa yang perlu jika mereka ini tetap berkeras, termasuk meneliti hak pengurusan segi perundangan di bawah Covid19.

“Diucapkan terima kasih pada semua bekas kejurulatihan dan bekas pemain musim 2020 yang telah menerima pembayaran gaji,” ujar penasihat undang-undang Kelantan FC.

Sejak mengambil alih pasukan Kelantan FC pada September 2020, adalah diketahui Norizam Tukiman (Zamsaham) telah berhabis jutaan ringgit untuk menyelesaikan hutang pasukan itu yang terkumpul sejak era pimpinan Tan Sri Annuar Musa.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.