“Kelantan sasar layak ke Liga Super 2021, dakap satu trofi.”
Penyokong Kelantan masih ingat lagi ayat ini?
Itulah tajuk-tajuk yang menghiasi dada akbar dan juga portal-portal sukan selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain skuad The Red Warriors pada 23 Februari lalu.
Pengarah Urusan Team Red Warriors Sdn Bhd ketika itu, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, berkata sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan prestasi memberangsangkan sepanjang aksi pra-musim selain kehadiran beberapa pemain ‘ada nama’ seperti Wan Zaharulnizam, Nazrin Nawi, Faredzuan Kamaruddin serta Kang Seung Jo (import).
Enam bulan berlalu, impian itu secara rasminya bolehlah dikatakan sudah berkubur.
Dihimpit pelbagai kemelut memalukan sejak beberapa bulan kebelakangan sehingga terpaksa melancarkan tabung (duit entah ke mana) serta kegagalan membayar gaji selama 4 bulan; terbaru pasukan itu ditimpa satu lagi nasib malang, ditolak tiga mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Hukuman itu atas kegagalan melunaskan baki tunggakan gaji sepertimana telah dipersetujui dengan pemain serta pegawai yang terbabit.
Penolakan tiga mata bermakna mereka jatuh ke tangga kesepuluh dalam kedudukan liga dengan satu mata.
Mood pemain sudahpun sedia terganggu, dengan perkembangan terbaru ini apa yang boleh diharapkan daripada mereka apabila saingan bersambung?
Memberikan aksi all-out sepenuh jiwa dan raga demi lencana di dada?
TAK RASA MALU?
Pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sewajarnya berasa malu, tiada seorangpun yang masih kekal di dalam KAFA layak untuk mendabik dada mengatakan ‘kami sudah buat yang terbaik untuk menyelamatkan pasukan’.
Bekas pemain import, Bruno Lopez pernah berkata, bolasepak Kelantan hancur adalah disebabkan individu di dalamnya.
Seorang demi seorang individu berkaliber keluar, yang masuk adalah mereka yang tidak tahu menguruskan sebuah persatuan bolasepak.
Baca : Bola Kelantan jahanam kerana orang di dalam persatuan
Alasan paling mudah, berlaku situasi yang tidak disangka dan pasukan hilang pendapatan berikutan penangguhan liga serta penularan Covid-19.
Apabila Datuk Wan Rakemi dan After Image Sdn Bhd menarik diri, seorang pun di dalam KAFA yang terdiri daripada usahawan, pakar perundangan, ahli politik, ahli perniagaan tidak mampu memikirkan cara terbaik menjana dan memulihkan kewangan?
Apa yang mereka buat, lancarkan tabung, menghadap Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, jumpa Menteri Belia dan Sukan, jumpa Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Jadi apa hasil daripada perjumpaan itu?
Tiada seorangpun terfikir bagaimana memanfaatkan situasi penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan itu sendiri untuk menjana kewangan persatuan?
Tidak malukah dengan seorang surirumah yang menjana pendapatan jutaan ringgit hanya dengan menjual facemask dan sanitizer sepanjang PKP?
Malah, Persatuan Bolasepak Selangor turut mengambil peluang menjana pendapatan dengan cara sama apabila memperkenalkan penutup muka Red Giants yang dilengkapi dengan ‘pocket system’ untuk dipadankan bersama topeng tiga lapisan dan PM 2.5 filter.
Kalaupun tidak dapat meraih pendapatan mencecah jutaan ringgit, tapi sekurang-kurangnya ada.
Ia lebih relevan berbanding melancarkan tabung meminta simpati kerana pada waktu Covid-19 facemask dan sanitizer menjadi perkara wajib ada dan paling dicari orang ramai, tidak kiralah mereka penyokong bola atau tidak.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Impian, keinginan dan harapan penyokong Kelantan untuk melihat reputasi pasukan kesayangan kembali pulih berkubur manakala periuk nasi dan masa depan pemain terjejas teruk kerana adanya individu mementingkan diri dalam persatuan.
Masihkah ada sinar?