“Kelantan Tak Cukup Kreatif di Barisan Serangan” – Rezal Zambery

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Di sebalik berjaya mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas Liga Premier setelah menewaskan Kuching City, masih ada kebimbangan di wajah pengendali Kelantan, Rezal Zambery Yahya.

Ini kerana menurutnya masih terdapat kelemahan yang terserlah, terutama kurang sentuhan kreatif di barisan depan sehingga menyebabkannya terpaksa membawa masuk pemain import, Nixon Guilherme walaupun dia masih dibelenggu kecederaan.

“Kita rancang nak masukkan Nixon di separuh masa kedua atau hujung permainan sebab keadaan dia masih belum pulih sepenuhnya dan kecergasan belum di tahap maksimum.

“Tapi bila kita lihat kita agak ketandusan kreativiti, tidak begitu efektif di barisan serangan yang mana kurang mencipta peluang, kita terpaksa membuat keputusan memasukkan dia (Nixon) lebih awal dan alhamdulillah taktikal itu menjadi,” ujar Rezal Zambery selepas perlawanan.

Kelantan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kuching City pada Ahad di laman sendiri di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu, dalam perlawanan yang disaksikan lebih lapan ribu penyokong – jumlah kehadiran tertinggi bukan sahaja untuk aksi di Kota Bharu, tetapi juga untuk saingan Liga Premier.

Gol buat skuad The Red Warriors dijaringkan Nixon pada minit akhir separuh masa pertama menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan selepas dia dikasari oleh kapten Kuching City, Adam Shreen.

Seorang lagi pemain gantian, Ikhwan Yazek memastikan tiga mata buat Kelantan menerusi jaringan kedua pada minit ke-73.

Mereka kini mendahului Liga Premier dengan 29 mata dan berada dalam landasan terbaik untuk menoktahkan kemarau kejuaraan selama sembilan tahun.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.