Kelantan United Buru Kemenangan Dua Gol Pada Aksi Terakhir

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelantan United memastikan impian beraksi di Piala Malaysia 2021 belum berkubur setelah mengejutkan Terengganu FC II dengan keputusan 1-0 pada Selasa.

Skuad Nazrulerwan Makmor mengumpul 23 mata, tiga mata dipisahkan dengan kedudukan lima teratas (selepas tolak feeder team) yang akan layak ke saingan Piala Malaysia.

Empat pasukan yang telah sah mara adalah Negeri Sembilan, Sarawak United, Kelantan FC dan Kuching City FC.

Nasib Kelantan United kini terletak di tangan sendiri, perlu menewaskan Kuching City FC setidak-tidaknya dengan defisit dua gol dalam aksi terakhir pada Jumaat.

Jika berjaya melakukannya skuad Kijang Hijau akan mengetepikan PDRM FC menerusi beza jaringan seterusnya menyambar tiket terakhir ke Piala Malaysia.

Sama ada ianya PDRM atau Kelantan United, mereka akan menyertai Kumpulan C bersama-sama Kedah Darul Aman FC, Melaka United dan Negeri Sembilan.

Sementara itu mengenai kemenangan ke atas TFC II menerusi jaringan tunggal Hakim Ismail, Nazrulerwan jelas tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya.

“Kredit kepada pemain saya kerana telah tunjukkan permainan yang bagus, menarik, berdisiplin dan bermotivasi tinggi. Saya nak bagitahu kita tidak menjalani latihan sepanjang 10 hari kuarantin tetapi berjaya tunjukkan peningkatan dan satu permainan yang cukup bertenaga,” katanya selepas perlawanan.

Sebagai rekod, pasukan Kelantan United terpaksa menjalani kuarantin selama 10 hari sebelum ini berikutan terdapat pemain mereka yang positif Covid-19 sekaligus menyebabkan perlawanan menentang Kuching City yang dijadual pada 11 September ditunda ke 24 September.

Dalam pada itu, Nazrulerwan belum mahu berbicara mengenai masa depannya bersama Kelantan United dan menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan untuk menilai sama ada kontraknya perlu disambung atau tidak.

Nazrulerwan yang berusia 41 tahun dan turut pernah membimbing kelab M3 dilantik sebagai jurulatih Kelantan United buat kali kedua menggantikan Akira Higashiyama pada bulan Mei lalu.

Sepanjang di bawah bimbingannya Kelantan United mencatat dua kemenangan, satu seri dan lima kekalahan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.