Kelantan United nafi mahu Liga Malaysia dibatalkan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelantan United Football Club (KUFC) menafikan laporan berita yang mengatakan mereka satu daripada pasukan Liga Premier yang mahu saingan Liga Malaysia 2020 dibatalkan susulan wabak pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Laporan berita sebuah stesen televisyen tempatan pada Selasa menyebut Kelantan United bersama-sama pasukan Kelantan, Sarawak United dan Kuching FA bersetuju jika Malaysian Football League tidak meneruskan saingan musim ini apabila Perintah Kawalan Pergerakan berakhir tatkala lapan pasukan lain pula memilih perlawanan dilangsungkan tanpa penyokong.

Menurut Setiausaha Eksekutif, Wan Mohd Zul Ikman, pihaknya kesal dengan laporan tersebut yang disifatkan akan mendatangkan kesan negatif kepada Kelantan United Football Club.

“Kami tidak pernah mengeluarkan kenyataan demikian dan kami sendiri hairan dari mana mereka mendapat sumber berita itu”.

Jelasnya lagi, pihak kelab sentiasa mendapat garis panduan dan maklumat semasa dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta MFL selaku badan penganjur Liga Malaysia.

“Dilaporkan badan induk itu akan bermesyuarat minggu ini untuk menentukan kedudukan liga, jadi kita akan mengikut segala keputusan dari FAM dan MFL serta kerajaan jika ia diputuskan nanti”.

Justeru itu, Wan Mohd Zul Ikman berharap pihak media massa di Malaysia lebih bertanggungjawab dengan laporan mereka dengan mendapatkan maklumat sahih tentang kelab melalui pegawai pasukan yang dilantik.

“Media mesti memainkan peranan mereka dengan menyalurkan berita sebenar tanpa memetik dari sumber tidak sah kerana ia bukan sahaja memberikan maklumat salah malah turut membawa implikasi buruk kepada kelab secara keseluruhan,” ujarnya.

Foto : KUFC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.