Kelantan United Sambar Tiket Terakhir Piala Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kelantan United menyambar tiket terakhir beraksi di Piala Malaysia 2021 selepas menundukkan Kuching City 3-1 dalam aksi terakhir Liga Premier pada Jumaat.

Kemenangan menyaksikan skuad kijang hijau menamatkan saingan Liga Premier dengan mengumpul 26 mata dan mengatasi PDRM FC dalam ranking pasukan ke Piala Malaysia hanya menerusi perbezaan jaringan.

Ia jelas kekecewaan besar buat PDRM bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail memandangkan mereka pada satu ketika seolah sudah sebelah kaki mengesahkan kemaraan malah tidak ramai menjangka Kelantan United boleh bangkit menang dua aksi terakhir.

Kelantan United bimbingan Nazrulerwan Makmor akan berentap dalam Kumpulan C bersama-sama Kedah Darul Aman, Melaka United dan juara Liga Premier Negeri Sembilan FC.

Ini adalah kali kedua Kelantan United mara ke Piala Malaysia selepas melakukannya pada tahun lalu namun pertandingan musim lalu dibatalkan berikutan penularan Covid-19.

Dalam aksi yang berlangsung di Pasir Gudang, Kelantan United mendahului 2-0 selepas 22 minit perlawanan menerusi jaringan Syafiq Iqmal Khirudin dan Alfusainey Gassama.

Kuching City merapatkan jurang menerusi Michael Ijezie pada minit ke-28 sebelum Fakhrul Zaman Zawawi mengembalikan kelebihan dua gol pada minit akhir separuh masa pertama.

Tiada tambahan jaringan disaksikan di separuh masa kedua.

Meskipun tewas ia tidak merubah kedudukan Kuching City bimbingan Irfan Bakti Abu Salim yang mengakhiri musim di kedudukan kelima dengan 27 mata.

Kuching City akan berentap dalam Kumpulan B bersama-sama Terengganu FC, Selangor FC dan Perak FC.

Kumpulan A menemukan Penang FC, Sri Pahang, KL City dan Sarawak United manakala Kumpulan D pula menghimpunkan Johor Darul Takzim, PJ City, Sabah dan Kelantan FC.

Saingan Piala Malaysia akan bermula pada Ahad ini di mana selepas dua perlawanan, pertandingan akan berehat panjang selama sebulan bagi memberi laluan kepada kalendar antarabangsa.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.