“Meninggal kerana salur darah jantung tersumbat, tiada bukti kaitan vaksinasi Covid-19”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Arena sukan tanah air dikejutkan dengan berita atlet memanah negara Haziq Kamaruddin meninggal dunia pada pagi Jumaat, selepas mengadu tidak sihat kepada isterinya.

Allahyarham sedang memburu tiket beraksi di Sukan Olimpik buat kali ketiga, selepas membuat penampilan di dua edisi terdahulu di London 2012 dan Rio De Janeiro 2016.

Sebagai makluman, allahyarham yang baru berusia 27 tahun menjadi sebahagian daripada kumpulan pertama atlet dan pegawai sukan Olimpik serta Paralimpik yang mengambil vaksin Covid-19 dalam program imunisasi Covid-19 kebangsaan, pada 14 April lalu dan kemudiannya melengkapkan dos kedua vaksin pada 4 Mei.

Laporan post mortem dikeluarkan Jabatan Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia menyebut allahyarham meninggal kerana komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis.

“Walaubagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisa makmal. Sehingga kini tiada bukti menunjukkan kematian berkait langsung dengan vaksinasi Covid-19,” menurut kenyataan KKM.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menganggap tindakan mengaitkan kematian allahyarham dengan suntikan vaksin sebagai tidak bertanggungjawab.

“Saya rasa kita kena ada rahmahlah. Sekurang-kurangnya kita hormati perasaan keluarga dahulu. Jangan timbulkan spekulasi tidak wajar. Arwah divaksinkan sama dengan saya pada April bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain, juga Tan Sri (Mohamad) Norza Zakaria (Presiden Majlis Olimpik Malaysia).

“Manakala vaksin kali kedua pula pada 4 Mei, maknanya 10 hari yang lalu. Setiap yang divaksinkan semua atlet di bawah pemantauan rapi oleh semua kakitangan ISN (Institut Sukan Negara) dan malahan, mereka juga mengambil RTK kali kedua pada 11 Mei dan daripada ujian itu negatif.

“Jadi saya tak mahu buat andaian apa-apa dan saya fikir adalah amat-amat tidak bertanggungjawab dan saya merayu di luar sana bahawa kita sekurang-kurangnya hormat perasaan kepada keluarga arwah.

“Isterinya reda dan sedih, tetapi mengganggap adalah satu fitrah yang diterima tapi janganlah kita besar-besarkan benda yang tak betul.

“Kajian dan bedah siasat masih dilakukan dan sebarang dapatan itu, Insya-Allah akan dimaklumkan nanti,” katanya yang turut berada di Hospital Kajang menziarahi keluarga Haziq.

Sebagai rekod, selain pernah beraksi di olimpik, Haziq juga penyumbang pingat emas pada Sukan SEA serta pingat gangsa di Kejohanan Memanah World Cup di Salt Lake City pada 2018.

Allahyarham sedang dalam persiapan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 melalui Kejohanan 2021 Hyundai World Cup Archery, Stage 3 dan Final Olympic Qualification Tournament pada 16 Jun 2021 di Perancis.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.