Kembalinya Dollah Salleh gagal pacu Sri Pahang FC noktahkan kemarau kemenangan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Dollah Salleh kembali mengambil alih tugas sebagai jurulatih Sri Pahang FC, tetapi dia gagal untuk memacu pasukan itu menoktahkan kemarau kemenangan setelah hanya mampu seri tanpa jaringan menentang Melaka United.

Tewas dua perlawanan pembukaan Liga Super 2021, pengurusan Sri Pahang FC membuat keputusan mengejut merehatkan Thomas Dooley dan pembantunya, tetapi langkah drastik itu ternyata tidak membantu meningkatkan mutu permainan pasukan itu yang tidak begitu mengancam sepanjang 90 minit perlawanan.

Pemain-pemain import terutamanya Lee Tuck, Pedro Henrique dan Yevhen Bokhashvili sekali lagi tenggelam dan tidak banyak peluang dicipta skuad tok gajah tatkala Dollah Salleh pastinya menarik nafas lega untuk pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata dari tempat lawan, dan meraih mata pertama untuk musim ini.

Bagi Melaka United bimbingan Zainal Abidin Hassan ia adalah keputusan seri ketiga berturut-turut.

Johor Darul Takzim pula terus gah merajai takhta Liga Super selepas berpesta gol membelasah Uitm FC 4-0 di Stadium Uitm Shah Alam. Kehilangan Safawi Rasid yang mengalami kecederaan seawal minit ketiga tidak merencatkan momentum Harimau Selatan yang beroleh gol menerusi Arif Aiman Hanapi, Gonzalo Cabrera, Bergson Da Silva dan Syamer Kutty Abba.

JDT mengumpul sembilan mata dari tiga perlawanan dan mereka juga satu-satunya pasukan yang belum bolos.

Dalam aksi lain, PJ City FC melakar kemenangan pertama mereka musim ini setelah menundukkan Sabah FC 1-0 di Stadium Likas menerusi jaringan tunggal Darren Lok.

Skuad bimbingan P.Maniam belum tewas selepas tiga perlawanan tatkala Sabah FC pula mengalami kekalahan kedua dan masih mencari kemenangan pertama.

Pasukan yang menerapkan DNA Jerman, Selangor FC pula memerlukan jaringan sendiri lewat permainan Giancarlo Gallifuoco  untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang KL City FC. Kedua-dua pasukan mengumpul empat mata selepas tiga perlawanan.

Sementara itu dalam aksi Liga Premier, dua gol dalam tempoh satu minit di penghujung permainan membantu Kelantan FC melakar kemenangan 2-1 ke atas PDRM FC.

PDRM FC mendahului menerusi Hidhir Idris pada minit ke-74 namun Kelantan FC bimbingan Marco Ragini bangkit menyamakan kedudukan menerusi Nurshamil Abd Gani pada minit ke-84 dan jaringan kemenangan dihasilkan Jack Hindle pada minit ke-85.

Aksi lain menyaksikan Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC II terikat 2-2 di Paroi, JDT II menewaskan Kuching City FC 3-1 dan Kelantan United pula menewaskan Perak II 2-1 di Kota Bharu.

Foto : Melaka United Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.