Kemelut Perak FC lebih teruk dari dijangka

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ia nampaknya musim yang cukup sukar dan berliku buat Perak FC, ternyata perjalanan mereka tidak selancar diharapkan selepas mengalami satu lagi kekalahan dalam Liga Super 2021.

Tetapi ia bukan mengenai kemelut prestasi dan keyakinan semata-mata sebaliknya kem Perak FC ketika ini berdepan kemelut lebih kritikal apabila dikhabarkan pemain-pemain hilang motivasi untuk bermain dek tunggakan gaji yang sudah mencecah beberapa bulan.

Pasukan kendalian Chong Yee Fatt hanya menang sekali musim ini ke atas Sri Pahang FC dan telah mengharungi empat perlawanan terakhir tanpa kemenangan – paling memalukan tewas 0-3 di tangan Kuala Lumpur City FC.

Sudah ada spekulasi bertiup kencang beberapa pemain mungkin membuat keputusan untuk angkat kaki dengan mengaktifkan klausa 8.7 di dalam kontrak kerana hilang sabar dengan kerenah pihak pengurusan yang hanya menabur janji palsu kononnya akan selesaikan tunggakan secepat mungkin.

Malah beberapa pemain juga dilihat mula membuat ayat kiasan di media sosial masing-masing tatkala sudah ada gesaan supaya mereka tidak berdiam diri berhubung isu ini yang mana jika dibiarkan akan semakin melarat.

Luahan player Perak FC Kemelut Perak FC lebih teruk dari dijangka

Kalau diikutkan perkara mengenai tunggakan gaji ini sudah lama dibangkitkan sejak ketika bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perak Datuk Seri Faizal Azumu melepaskan jawatannya.

Sebagai rekod, pada tahun lalu pemain sayap naturalisasi Mohamadou Sumareh mengambil tindakan menamatkan kontrak bersama Persatuan Bolasepak Negeri Pahang secara sebelah pihak dengan mengaktifkan klausa 8.7 di dalam kontraknya.

Pemain itu bertindak demikian dengan mendakwa PBNP tidak membayar gajinya lebih daripada sebulan malah dia juga tidak menerima kenaikan gaji tahunan sebanyak US$5,000 setahun yang sepatutnya dibayar bermula tahun kedua kontraknya dengan Pahang.

Ini menyebabkan dia mengheret PBNP ke FIFA dan telah menang tuntutan di mana badan induk bolasepak dunia itu telah mengarahkan Sumareh dibayar RM4.9 juta merangkumi jumlah keseluruhan tunggakan gaji, peningkatan gaji tahunan yang sepatutnya diterima dan pampasan pelanggaran kontrak.

Adalah menjadi tanda tanya adakah pemain-pemain Perak FC akan mengambil langkah sama untuk memperjuangkan hak mereka, atau akan kekal bersungut di media sosial tanpa mencari solusi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.