Kemenangan Vietnam dan UAE bikin laluan Malaysia lebih berliku

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Peluang skuad Harimau Malaya untuk melangkah secara merit ke pusingan seterusnya dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semakin berliku, selepas Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu, mencatat kemenangan masing-masing ke atas Indonesia dan Thailand.

Sebelum perlawanan, Harimau Malaya mengharapkan kedua-dua perlawanan itu setidak-tidaknya berkesudahan dengan keputusan seri agar peluang menjadi lebih terbuka menuju dua perlawanan terakhir.

Kemenangan bergaya 4-0 Vietnam ke atas Indonesia meletakkan mereka menerajui Kumpulan G dengan 14 mata, manakala kemenangan UAE pula menyaksikan mereka mengukuhkan cengkaman di kedudukan kedua dengan 12 mata.

Thailand dan Malaysia mengumpul sembilan mata, namun Thailand hanya mempunyai baki satu perlawanan menentang Malaysia dan peluang mereka untuk melangkah automatik ke pusingan seterusnya boleh dikatakan sudah tertutup.

Manakala Harimau Malaya pula perlu mengharapkan keajaiban menang kedua-dua baki perlawanan, dalam masa sama mengharapkan Vietnam tewas dalam perlawanan terakhir menentang UAE untuk menyambar kedudukan naib juara Kumpulan G.

Andai kata berjaya mencipta kejutan menduduki tempat kedua sekalipun, ia belum menjamin Harimau Malaya akan mara automatik ke pusingan seterusnya kerana hanya empat pasukan naib juara terbaik akan mengiringi lapan juara kumpulan.

Bagaimanapun, jika gagal untuk melangkah secara merit, peluang terakhir untuk layak ke Piala Asia 2023 adalah dengan beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan.

Dalam pusingan ini, 24 pasukan, iaitu empat lagi baki naib juara kumpulan; lapan pasukan tempat ketiga; empat pasukan terbaik di kedudukan keempat; serta lapan pasukan yang memenangi pusingan play-off akan bertarung merebut baki slot yang tinggal untuk Piala Asia 2023.

Harimau Malaya akan bertemu Vietnam pada 11 Jun manakala UAE bertemu dengan Indonesia di mana mereka dijangka tidak berdepan masalah mencatat kemenangan.

Manakala dalam aksi terakhir Malaysia akan menentang Thailand, dan UAE pula bertemu Vietnam.

Di atas kertas, laluan tampak penuh berliku untuk Harimau Malaya namun di dalam bolasepak segalanya tidak mustahil. Yang penting, skuad Tan Cheng Hoe melaksanakan tugas mereka sebaik mungkin.

Apa gunanya mengharapkan keajaiban jika peluang terhidang di depan mata sendiri tidak dimanfaat?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.