Naib Presiden, Datuk Mohd Rowi Dollah menjadi individu terbaru meninggalkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
Persatuan itu sebelum ini telah kehilangan Dato’ Wan Rakemi Wan Zahari (Exco Eksekutif merangkap Pengarah Urusan TRW Sdn Bhd) manakala beberapa hari lalu Presiden dan Timbalan Presiden direhatkan susulan masalah kewangan tenat.
Menurut laporan Bernama, Mohd Rowi memberitahu keputusan itu dibuat kerana beberapa faktor.
“Setelah meneliti keadaan semasa terutamanya dari segi kekangan masa sebagai usahawan, saya tidak dapat memberikan komitmen kepada pengurusan KAFA.
“Dengan faktor ini saya melihat sebagai naib presiden, saya tidak dapat membantu KAFA dalam mendapatkan penajaan kewangan bagi menguruskan persatuan itu dan pasukan The Red Warriors (TRW).
“Nama saya juga telah disenarai hitam oleh Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) disebabkan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pemain serta tindakan mahkamah oleh Prestige Sport Sdn Bhd pada 2018.
“Hal ini telah mengganggu dan menjejaskan urusan perniagaan saya terutama urusan melibatkan sektor kewangan.
“Terima kasih diucapkan kepada semua kepimpinan KAFA atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dan saya harap pengurusan KAFA dapat meneruskan kesinambungan untuk membangunkan bola sepak Kelantan,” katanya yang turut pernah terlibat sebagai penaja pasukan Kelantan menerusi syarikat Glow Glowing.
KAFA ketika ini diterajui sementara oleh seorang lagi Naib Presiden, Datuk Shaari Mat Hussin.
Foto : Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA)