Kena potong tiga mata sekali lagi, bukti Melaka United bukan pasukan kebal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skrip sama berulang lagi, entah bila Melaka United akan belajar dari pengalaman?

Buat tahun kedua berturut-turut, Melaka United mengalami nasib malang dipotong tiga mata kerana kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

Pada hakikatnya sudah ramai yang menegur tindakan pasukan itu berbelanja membawa masuk ramai pemain-pemain baru pada ketika tunggakan gaji masih lagi bertimbun.

Menurut kenyataan Malaysian Football League (MFL), keputusan penolakan tiga mata dibuat dalam mesyuarat First Instance Body Pelesenan Kelab MFL yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli jawatankuasa yang lain.

“Melaka United telah berjaya membuat pembayaran tunggakan gaji mengikut jadual pada tarikh akhir pertama iaitu 31 Januari 2021 namun bagi pembayaran tarikh akhir kedua, mereka telah didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui.

“FIB berharap bahawa keputusan ini dijadikan teladan untuk memastikan Melaka United FC mematuhi jadual pembayaran yang ditetapkan pada masa akan datang. Jika mereka mengulangi kesalahan yang sama, perkara itu akan dibawa ke FIB untuk keputusan dan tindakan seterusnya,” menurut kenyataan tersebut.

Keputusan ini pastinya menjadi tamparan buat Melaka United, tetapi dalam masa sama membuktikan bahawa keberadaan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United Datuk Wira Yusoff Mahadi di dalam Persatuan Bolasepak Malaysia dan sebagai ahli lembaga pengarah MFL tidak menjadikan mereka pasukan yang kebal daripada dikenakan hukuman sepertimana tanggapan ramai.

Sebagai rekod, pada tahun lalu pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan itu ditolak tiga mata sebelum Liga Super bermula disebabkan isu yang sama, kali ini mereka ditolak mata selepas empat perlawanan, menyaksikan pasukan itu kini hanya mengumpul satu mata sahaja, sekaligus menjejaskan misi memperbaiki pencapaian musim lalu.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif pasukan, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri memberitahu mereka telah melangsaikan tunggakan gaji dan elaun pemain skuad berkenaan berjumlah RM915,000 secara keseluruhan.

Berita berkaitan : CEO Melaka United diselar buat kenyataan tidak betul dan tidak bertanggungjawab

Malah menurutnya pasukan itu komited untuk memastikan semua pembayaran lain yang masih tertangguh kepada bekas pemain import serta pemain dan pegawai pasukan musim 2020 juga akan dibayar demi memastikan tiada hukuman dikenakan.

Foto ehsan : Melaka Kini

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.