Kenali Che Mohamad Safwan, kapten ‘versatile’ Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sejak lebih sedekad yang lalu, ramai pemain berprofil tinggi telah memakai lilitan di lengan selaku ketua pasukan Kelantan FC.

Ia memerlukan seorang yang benar-benar berpengaruh dan mempunyai kualiti kepimpinan tinggi untuk menggalas tanggungjawab besar tersebut.

Badhri Radzi, Indra Putra Mahyuddin, Khairul Fahmi Che Mat, Farisham Ismail dan Cassio Francisco antara yang telah melaksanakan tanggungjawab kapten Kelantan FC dengan cukup baik sebelum ini dan pada tahun ini, peranan tersebut jatuh ke bahu Che Mohamad  Safwan Che Hassan.

Siapakah pemain ini, sejauh mana penyokong Kelantan FC mengenali pemain berusia 25 tahun ini yang beraksi di posisi bek kanan?

Menerusi perkongsiannya dengan sukanz.com, Che Mohamad Safwan mendedahkan ketika permulaan kariernya bersama skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada 2014, dia beraksi di posisi penyerang dan sayap kanan, serta ditukar ke posisi defensive midfielder oleh Frank Bernhardt ketika dia bersama skuad B-23 kebangsaan yang dalam persiapan untuk bermain di Sukan SEA 2017.

Ianya bekas ketua jurulatih Perlis, Syamsul Saad, yang menukar posisinya ke bek kanan ketika dia bermain dengan pasukan itu, setelah melihat potensi yang dimilikinya.

“(Pada peringkat awal) saya ditukar ke posisi pertahanan kanan agak keliru juga, (sebab) kebiasaannya saya bermain di bahagian serangan dan kali ini bertukar di posisi bertahan, tetapi Coach Syamsul kata, saya tahu suatu hari nanti awak akan berterima kasih kepada saya sebab tukarkan awak menjadi pertahanan kanan. Saya nampak ada satu potensi untuk awak beraksi sebagai pertahanan kanan.

“Saya kemudiannya beraksi secara tetap sebagai bek kanan tetapi saya juga boleh bermain sebagai pemain tengah bertahan dan bek kiri,” kata Che Mohamad Safwan yang pernah menyarung jersi bersama Pulau Pinang (2019) dan Negeri Sembilan (2020).

Mengenai Kelantan FC 2021 yang dibarisi majoriti pemain-pemain muda, Che Mohamad Safwan yang dibesarkan di Tumpat berpandangan mereka mempunyai semangat dan keterujaan yang tinggi dalam bola sepak namun ia akan mengambil sedikit masa sebelum mereka dapat memainkan gaya yang dimahukan oleh ketua jurulatih Marco Ragini secara sepenuhnya.

“Pasukan ini merupakan pasukan yang muda dan mempunyai semangat dalam bola sepak tetapi bagi saya kita kekurangan pengalaman untuk duduk (beraksi) dalam padang.” katanya sambil menegaskan tidak memandang mudah cabaran di saingan Liga Premier,” katanya.

Selain daripada dirinya, antara pemain senior lain yang menyarung jersi Kelantan FC pada musim ini ialah Farizal Harun, Nurshamil Abd Ghani dan Faridzuean Kamaruddin.

Mereka turut dikuatkan dengan kehadiran tiga pemain berpengalaman dari benua eropah iaitu Jack Hindle (England), Christos Intzidis (Greece) dan Mario Arques (Sepanyol) yang masing-masing berusia 27 tahun, 28 tahun dan 29 tahun.

Baru-baru ini pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memberitahu sasaran pasukan itu adalah layak ke Liga Super pada 2024.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.