Kenapa anak Sabah tidak mahu keluar bermain di luar Sabah?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Salah satu sebab utama Amri Yahyah memilih untuk bermain dengan Sabah FC pada musim ini, adalah kerana mahu mencurahkan ilmu dan pengalaman kepada anak-anak muda di negeri itu untuk membantu mereka mengembangkan potensi ke tahap lebih tinggi.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh pemain veteran berusia 40 tahun itu dalam satu temubual bersama Astro Arena minggu lalu.

Amri Yahyah yang berpengalaman beraksi lebih dua dekad dalam arena bolasepak tempatan berkata dia melihat Sabah mempunyai ramai bakat muda berkualiti tetapi masalah terbesar mereka adalah tidak mahu keluar untuk membina nama dan karier di luar Sabah.

Justeru dia merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk membantu mereka membina keyakinan seterusnya keluar dari kepompong untuk meluaskan perspektif dan pergi lebih jauh dalam karier.

“Memang benar saya sudah dapat segala pencapaian dan piala, cuma kini saya mahu membantu pemain muda anak Sabah agar mereka dapat bermain di peringkat yang lebih tinggi dan berani untuk menghadapi segala halangan.

“Saya mahu membantu mereka supaya tidak perlu menunggu usia yang sudah lanjut untuk mendapatkan tahap permainan tertinggi. Saya harap dengan apa yang saya ada, saya dapat mencurahkannya kepada pemain muda agar mereka lebih bagus pada masa akan datang.”

“Saya lihat ramai pemain yang berbakat di Sabah cuma mereka hanya bermain di Sabah sahaja, mereka tidak mahu keluar. Saya harap pemain muda di Sabah dapat keluar daripada kelompok itu untuk mengembangkan bakat mereka dan akan lebih berjaya di luar dan nama Sabah akan terkenal di mana-mana,” ujar pemain yang pernah menyarung jersi Selangor, JDT dan Melaka United itu.

Kata-kata Amri Yahyah itu ada benarnya, jika kita lihat dalam saingan Liga Malaysia, peratusan pemain dari Sabah mengembangkan karier di luar negeri sendiri boleh dikatakan terlalu rendah, malah hampir tidak ada.

Sejak dari era 90-an kita lebih banyak mendengar pemain berhijrah dari Semenanjung untuk bermain dengan Sabah dan bukan sebaliknya.

Malah sejak sekian lama jika ditanya siapa anak Sabah yang mencipta nama bersama pasukan di Semenanjung, mungkin kita sukar menyebut nama selain Bobby Gonzales, Rozaimi Abdul Rahman, Mafry Balang, dan Shahrel Fikri Mohd Fauzi.

Apa punca anak Sabah tidak mahu bermain di luar Sabah? Nama sehebat Matlan Marjan, Zainizam Marjan dan Jelius Ating sekalipun tidak pernah mewakili pasukan selain Sabah. Adakah kerana semangat kenegerian yang begitu tinggi, kurang keyakinan diri untuk membawa diri di tempat orang, atau bimbang masalah homesick, atau mungkin kerana budaya dan persekitaran yang berbeza dengan Semenanjung?

Sabah diketahui sentiasa mengetengahkan pemain-pemain berkualiti – Rawilson Batuil, Ricco Nigel Milus, Azzizan Nordin, Alto Linus, Maxius Musa dan Hamran Peter adalah antara beberapa produk yang diketengahkan negeri itu dan kini menjadi tonggak utama Sabah FC.

Mungkinkah suatu hari nanti penyokong boleh melihat nama-nama ini bermain dengan pasukan dari Semenanjung atau mereka akan terus kekal dalam kepompong sama?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.