“Kenapa kad merah untuk Fadzrul, kad kuning untuk Cabrera?” soal Jamal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Keputusan tidak konsisten pengadil Liga Malaysia di dalam menghukum pemain ternyata membingungkan bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail.

Jamal Nasir merujuk kepada beberapa insiden berhubung kekasaran ke atas pengadil perlawanan sejak Liga Malaysia bermula bulan lalu yang menyaksikan keputusan berbeza dibuat sedangkan kesalahannya adalah sama.

Sebagai contoh ketika Jack Hindle (penyerang Kelantan) dan Natxo Insa (pemain tengah Johor Darul Takzim) menolak pengadil, kedua-duanya terlepas daripada hukuman ketika perlawanan.

Kemudiannya apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersidang, Jack Hindle sekali lagi terlepas dengan hanya diberi amaran keras manakala Natxo Insa pula dikenakan penggantungan satu perlawanan dan denda RM10,000.

Terbaru pada 9 April lalu ketika perlawanan antara Kedah Darul Aman dan Terengganu FC, Fadzrul Danel dilayangkan kad merah terus kerana menolak pengadil namun dalam aksi antara JDT dan Sri Pahang pada Jumaat lalu, Gonzalo Cabrera yang menolak pengadil dua kali hanya dilayangkan kad kuning.

Jamal Nasir tidak faham mengapa situasi sedemikian boleh berlaku malah menegaskan jika FAM mahupun Malaysian Football League (MFL) tidak memberi perhatian ia hanya akan menimbulkan persepsi bahawa ada pihak mempengaruhi keputusan pengadil.

“Saya dah bagitahu banyak kali jangan ada ‘double standard’. Ini nampak sangat dan ia menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak negara kenapa JDT macam ada kelebihan sedangkan mereka sama seperti kelab lain dalam saingan liga kita ini.

“Kalau nak buat keputusan biar adil dan jangan takut. Mana-mana pasukan yang buat kesalahan serius, maka ambil juga tindakan yang serius. Jangan orang lain kena kad merah, tetapi orang ini hanya kena kad kuning dengan insiden yang sama.

“Saya rasa perkara ini tidak adil kepada pasukan yang kena kad merah. Apa beza insiden tersebut? Adakah sentuh sikit atau dia sentuh banyak. Sentuh tetap sentuh dan ia sesuatu yang serius. Saya rasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kena buat sesuatu, kalau tak liga kita ini dah macam liga yo-yo la.

“Kita tak kisah JDT nak menang setiap perlawanan kerana mereka memang pasukan kuat, tetapi keputusan yang dijatuhkan pengadil itu biarlah mengikut undang-undang dan adil. Pengadil juga jangan rasa takut untuk layangkan kad,” kata Jamal Nasir dilaporkan Sukan Sinar.

Perlu diakui insiden pemain menolak pengadil apabila tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan sekadar memberi gambaran bahawa pegawai perlawanan semakin tidak dihormati dan tiadanya satu hukuman tegas menyebabkan ia semakin menjadi-jadi.

Pengendali Kedah, Aidil Shahrin Sahak sebelum ini ada memberitahu bahawa jika pengadil berlaku tidak adil, ia akan menyebabkan pemain hilang sabar secara spontan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.