Kenapa Mat Chah lari dari kem kebangsaan?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sebelum ini, LabolaMalaya telah menyiarkan tentang perjalanan karier Shahrizan Ismail, penjaga gol veteran yang mengharungi karier gemilang menjulang treble dengan dua pasukan berbeza.

Penjaga gol yang menyinari arena bolasepak tempatan sejak lebih 20 tahun ini, sebenarnya mempunyai pengalaman lucu yang tidak boleh dilupakannya, insiden yang berlaku pada tahun 2001.

Setelah membantu Kelantan menjuarai Liga Perdana Dua 2000, Shahrizan atau Mat Chah telah mengukuhkan reputasinya sebagai salah seorang pemain tonggak pasukan dan melihat kepada ketangkasannya meskipun bertubuh kecil, jurulatih kebangsaan ketika itu Allan Harris menyenaraikan nama Mat Chah bersama-sama Azmin Azram Abdul Aziz, Kamarulzaman Hassan dan Syamsuri Mustafa untuk menghadiri latihan pusat pasukan kebangsaan.

Namun Mat Chah bertindak melarikan diri dari skuad yang ketika itu dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Sea 2001 di Kuala Lumpur.

“Setelah beberapa hari menjalani latihan pusat, pihak pengurusan kemudiannya minta passport kerana pasukan akan menjalani latihan di Australia. Entah apa yang bermain di fikiran saya, mungkin tidak mahu terlalu berjauhan dengan keluarga atau risau mengalami ‘homesick’, saya sebaliknya tidak serahkan passport dan lari dari kem kebangsaan. Itu adalah kali pertama dan terakhir saya dipanggil ke kem kebangsaan,” ujar Mat Chah sambil tergelak mengenang peristiwa itu.

Sementara itu, beraksi selama lebih 15 tahun dengan Kelantan sejak 1999, Mat Chah mengakui pengalaman paling pahit dalam karier adalah ketika Kelantan tunduk kepada Selangor menerusi penentuan penalti dalam aksi final Piala FA 2009.

“Ketika itu saya baru kembali menjaga gawang dalam beberapa perlawanan selepas pulih daripada kecederaan selain ketiadaan Halim Napi yang menjalani penggantungan. Harapan peminat adalah cukup tinggi kerana itu adalah final pertama TRW dalam tempoh hampir 40 tahun.

“Kelantan sudahpun mendahului 1-0 pada masa tambahan dan semakin hampir mencipta sejarah tetapi Selangor pula terus menekan pertahanan kita. Saya keluar untuk menyelamatkan hantaran lintang D.Surendran tetapi tersilap menduga, bola itu singgah tepat di kepada Amri Yahyah yang melakukan tandukan rendah untuk menyamakan kedudukan.

“Perlawanan berlanjutan ke sepakan penalti dan saya cukup kecewa kerana gagal menyelamatkan walau satupun daripada empat sepakan yang dilakukan,” kata Mat Chah.

Rujukan : Dunia Warriors

Foto : Kelantan United Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.