Kenapa Michael Owen Dibenci Penyokong Argentina?

Michael Owen
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong fanatik Argentina boleh dimaafkan jika mereka masih menyimpan rasa marah dan sakit hati terhadap kelibat bekas penyerang sensasi England, Michael Owen.

Dalam dua edisi Piala Dunia berturut-turut iaitu France 1998 dan Korea/Japan 2002, Michael Owen mendapatkan sepakan penalti untuk England, kedua-duanya menentang Argentina.

Pada 1998 Owen yang ketika itu baru berusia 18 tahun mendapatkan sepakan penalti setelah dijatuhkan oleh Roberto Ayala dalam aksi pusingan kedua, penalti disudahkan oleh Alan Shearer seawal minit ke-10 dan Owen sendiri menjaringkan satu gol cantik dalam perlawanan itu. Perlawanan berkesudahan seri 2-2 namun nasib menyebelahi Argentina apabila meneruskan kemaraan setelah menang penentuan penalti.

Manakala empat tahun  kemudian di Sapporo, Owen dikasari oleh Mauricio Pochetino, penalti disudahkan oleh David Beckham untuk gol tunggal dalam perlawanan terakhir Kumpulan F itu, menyaksikan England mara ke pusingan kedua manakala Argentina tersingkir dengan penuh aib.

Owen dalam satu temuramah beberapa tahun lalu mendedahkan betapa dia adakalanya dihantui rasa bersalah dengan dua insiden itu, di mana dia terjatuh dengan mudah akibat minimal contact daripada Ayala dan Pochetino sehingga berjaya memenangi penalti, namun menafikan dia menjatuhkan diri (diving).

“Saya akui saya jatuh dengan mudah, ketika saya bercakap mengenainya dulu saya terkejut melihat tajuk di dada akhbar tertulis ‘Owen jatuhkan diri untuk menang penalti’, ianya memalukan. Saya tidak pernah berkata sedemikian dan tidak pernah memenangi penalti dengan cara kotor macam itu.

“Apa yang saya maksudkan saya mudah terjatuh apabila dikasari sedangkan saya sebenarnya masih boleh mengimbangi diri, itu maksud saya, saya tidak pernah menang penalti dengan cara kotor. Ayat saya telah dimanipulasi dan ia amat memalukan.

“Ia adalah situasi yang biasa berlaku dan itulah ceritanya dalam dua perlawanan menentang Argentina, saya terjatuh dengan mudah, BUKAN menjatuhkan diri. Adakalanya pemain terjatuh ketika mengelak bentesan lawan, adakalanya mereka gagal mengimbangi badan dan terjatuh.

“75 peratus pemain masih boleh mengimbangi diri mereka bila berlaku sentuhan dalam kotak penalti, kadang-kadang saya juga rasa bersalah, pada 1998, saya melakukan larian laju, berlaku kekasaran oleh Ayala, saya terjatuh. Adakah saya sebenarnya boleh mengelakkan diri dari terjatuh? Mungkin ya.

“Kemudian 4 tahun berikutnya pengadil Pierluigi Collina memberikan saya satu lagi sepakan penalti ketika menentang Argentina, sekali lagi, saya mungkin boleh mengelak daripada terjatuh, Pochetino membentes saya dan terdapat luka di kaki saya, tetapi saya seharusnya boleh mengimbangi diri saya,” ujar Owen.

Tambahnya lagi, “Ia adalah satu subjek yang sukar dibicarakan, terutamanya kepada mereka yang tidak terlibat dalam perlawanan tersebut. Kepada mereka yang bermain, pada situasi satu lawan satu anda akan cuba menarik pemain lawan ke dalam kotak penalti, ada pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Mereka mungkin menyekat pergerakan dengan membentes atau menghulurkan kaki.

“Dalam kes menjatuhkan diri, ada yang mempunyai skill untuk perangkap pertahanan lawan supaya membuat kesilapan, dan ada yang sengaja menunggu pertahanan menghulurkan kaki sebelum terjatuh untuk memenangi penalti. Ia semakin menjadi-jadi dan saya tidak nampak ia akan hilang dari era bolasepak moden kini.

Owen yang pernah menyarung jersi Liverpool, Real Madrid, Newcastle United dan Manchester United turut menjelaskan betapa menjatuhkan diri semakin menjadi kebiasaan di Liga Inggeris kerana kebanjiran dan pengaruh pemasin asing di EPL.

“Ketika zaman kanak-kanak saya, saya suka menonton bolasepak Itali, anda boleh saksikan begitu banyak simulasi (lakonan) yang tidak dapat kita lihat di England. Namun pemain inggeris pada hari ini banyak mencontohi pemain-pemain luar ini.”

Michael Owen menoktahkan karier pada 2013 dengan Stoke City menjadi pasukan terakhir diwakilinya.

Foto ehsan : Zimbio

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.