Kenapa nak cakap Sathianathan dianiaya?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pengendali Selangor, B.Sathianathan sememangnya sudah sedia maklum kontraknya bersama pasukan itu tidak akan disambung walaupun berjaya mencapai sasaran ditetapkan.

Pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah memaklumkan perkara tersebut kepadanya sejak sebelum saingan Liga Malaysia kembali bersambung lagi.

Ini bermakna meskipun Sathianathan kekal dan membawa Selangor layak ke Piala AFC sama ada dengan menamatkan musim di kedudukan dua teratas Liga Super ataupun menjulang trofi Piala Malaysia, dia tetap akan dipecat.

Baca : Sathianathan dipecat Selangor!

Justeru adalah tidak adil untuk menuduh bahawa ada komplot untuk menganiaya dan menyingkirkan bekas pengendali kebangsaan itu dari jawatannya, demikian tegas Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon.

“Ketika liga berehat sebelum ini, FAS sudah mengadakan pertemuan dengan Sathianathan dan beliau sudah dimaklumkan ketika itu bahawa beliau tiada dalam perancangan untuk musim depan kerana kita perlu mengubah hala tuju kita.

“Jadi tidak timbul isu mengenai konspirasi untuk menjatuhkannya ketika saingan masih berlangsung atau apa sahaja dakwaan kerana beliau sendiri pun sudah dimaklumkan mengenai kedudukannya.

“Dalam struktur bola sepak Selangor kita nak masukkan Pengarah Teknikal (TD) sebagai pegawai paling tinggi dalam Selangor.

“Kita nak perkenalkan struktur baharu, tapi untuk tahun pertama ini Sathianathan adalah jurulatih Liga Super dan sebab itu kita kecilkan skop tugas TD supaya jaga Selangor II dan ke bawah.

“Maknanya peranan TD sekarang (Michael Feichtenbeiner) adalah untuk memperkenalkan sistem atau DNA bola sepak Selangor yang sama.

“Tahun ini Selangor II dan Piala Presiden dah gunakan cara yang sama, latihan yang sama dan kerjasama secara berkumpulan. Inilah perancangan jangka panjang Selangor diilhamkan oleh Raja Muda Selangor dan itu visinya.

“Bila tiba masanya pasukan Liga Super pun kenalah ikut serta dan selari. Dalam hal ini, Sathianathan sudah tahu dan kita di FAS mahu cara yang TD bawa. Bukan bermaksud cara Sathianathan tak bagus, tapi dia ada cara sendiri,” kata Johan Kamal dipetik dari Arena Metro.

Tambah Johan Kamal lagi, ketua jurulatih baru yang akan dilantik nanti akan membimbing pasukan mengikut DNA Selangor di bawah pemantauan Michael.

Sathianathan yang dilantik sebagai ketua jurulatih Selangor pada 2019, dipecat dua hari selepas kekalahan 6-1 di tangan Johor Darul Takzim pada Sabtu lalu.

Ia kekalahan terburuk Selangor dalam saingan Liga Super selepas 14 tahun.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.